Kebal rekod tanpa kalah antara 4 sebab aksi Selangor-JDT pasti jadi 'match of the week'


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Satu pertembungan menarik pasti disajikan ketika pertembungan antara kedua-dua pasukan. — Agensi

SETAKAT empat perlawanan Liga Super, hanya empat pasukan yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah dengan beberapa keputusan seri direkodkan.

Pasukan-pasukan itu ialah Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC yang mana menunjukkan reputasi bola sepak tanah air sudah semakin meningkat.

Namun, bagi aksi kelima minggu ini, dua pasukan bakal berentap untuk mengekalkan rekod itu di samping mahu mendapatkan kedudukan teratas Liga Super.

Pendahulu liga, JDT bakal bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor untuk menerima cabaran daripada skuad Gergasi Merah yang ketika ini berada di tangga ketiga.

Kedua-dua pasukan itu sememangnya cukup terkenal dengan menyajikan aksi terbaik setiap kali bertemu seperti mana dapat disaksikan pada 2022.

PIALA_MALAYSIA_2022_AKHIR_1669475939

Pertembungan kedua-dua pasukan menyaksikan JDT muncul sebagai juara Piala Malaysia 2022.

Perlawanan terkini antara kedua-dua pihak menyaksikan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu membawa pulang trofi Piala Malaysia selepas menundukkan Selangor FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jadi, menjelang aksi yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, tinjauan di media sosial mendapati penyokong kedua-dua pasukan sudah mula melakukan serangan mental.

Lebih menarik lagi, peminat setia bola sepak juga dilihat cukup berminat untuk menyaksikan pertembungan itu dengan pelbagai perkara mula dibincangkan.

Berikut merupakan empat sebab buat orang ramai menyaksikan pertemuan antara anak-anak buah Tan Cheng Hoe dan Esteban Solari yang mana pastinya cukup menarik perhatian.

1. Rekod tanpa kalah JDT

Musim lalu, skuad Harimau Selatan merekodkan satu pencapaian cukup membanggakan apabila pasukan senior mudah mengungguli empat kejohanan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut beraksi dengan sangat baik dalam kesemua perlawanan sehinggakan tiada sebarang kekalahan dicatatkan.

Kemenangan mereka ke atas Kelantan FC baru-baru ini menjadikan mereka tidak tewas dalam 51 perlawanan berturut-turut, yang mana juga merupakan satu rekod yang amat sukar untuk dipatahkan.

334976045_718464669971950_2081395946689975631_n

Cengkaman JDT dalam Liga Super semakin sukar dicabar. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kali terakhir pasukan Selatan tanah air itu ditundukkan adalah ketika menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 2021.

Jadi, dengan kemampuan yang dimiliki pasukan kendalian Cheng Hoe, mereka dilihat mampu memadam rekod berkenaan ketika aksi di Stadium MBPJ Jumaat ini.

Namun, dengan JDT dilihat cukup sempurna kebelakangan ini, adakah skuad Gergasi Merah memiliki kelebihan untuk merobek gawang pasukan pelawat nanti?

Tambahan pula, dengan 12 mata sudah dikumpul pasukan Selatan itu setakat ini, mampukah mereka dengan mudah tergugat dengan kehadiran pasukan tersebut?

2. Rekod tanpa kalah Cheng Hoe

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu dilantik Selangor FC September tahun lalu selepas pasukan Lembah Klang berkenaan berada dalam prestasi cukup merumitkan.

Keputusan tersebut dilihat cukup membuahkan hasil buat pihak pengurusan Gergasi Merah apabila pengendali kelahiran Kedah itu masih belum tumpas dalam saingan Liga Super.

Setakat ini, dia hanya tewas ketika perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC serta final menentang JDT.

TCH-e1664481251641

Kehadiran Cheng Hoe (kanan) mengubah nasib skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Ia menunjukkan bahawa keserasaian pasukan sudah berada di tahap terbaik selain mereka mempunyai semangat untuk memastikan rekod untuk berkekalan.

Tambahan pula, Cheng Hoe sebelum ini juga pernah menegaskan bahawa pencapaian itu merupakan satu suntikan semangat buatnya bagi meletakkan Selangor FC di tahap lebih baik.

Namun, sekiranya diperhatikan perkara itu secara lebih terperinci, Cheng Hoe masih bergelut untuk menundukkan pihak lawan yang lebih mencabar seperti mana ketika mereka berdepan Sri Pahang FC sebelum ini.

Jadi, ia pastinya satu perkara menarik untuk melihat pendekatan yang bakal diambil pengendali itu dalam memastikan mereka mampu membawa pulang sesuatu positif daripada aksi berkenaan.

3. Ketumpulan Faisal Halim

Selepas muncul sebagai antara pemain sayap terbaik Liga Super musim lepas, Faisal Halim memilih untuk menyertai Selangor FC setelah kontraknya bersama Terengganu FC tamat.

Kehadirannya itu dikatakan menjadi salah satu sebab apabila skuad Gergasi Merah muncul sebagai antara pencabar dengan empat bantuan gol sudah dihasilkan.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian penyokong bola sepak tanah air adalah kesukarannya untuk mendapatkan sebarang gol peribadi dalam empat penampilan Liga Super.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 22.17.41

Faisal masih kempunan mendapatkan gol pertamanya bersama Selangor FC. Facebook/Selangor FC

Perkara itu dijadikan antara bahan usikan sebilangan penggemar sukan tempatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan pengikut setia JDT.

Jadi, dengan jentera serangan dilihat sudah semakin serasi, pemain berusia 25 tahun itu berpotensi untuk menamatkan penantian tersebut pada Jumaat.

Tetapi, ia pastinya bukan satu perkara yang mudah apabila gawang gol skuad Harimau Selatan hanya dibolosi sebanyak sekali dalam empat perlawanan.

Namun, dengan pengalaman dan kebolehan dimiliki penyerang kelahiran Pulau Pinang itu, dia dikatakan mempunyai kebolehan untuk menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan.

4. Kepulangan Bergson

Jentera serangan JDT sememangnya cukup menggerunkan musim ini apabila mereka sudah menjaringkan 17 gol selepas membawa masuk beberapa wajah baharu ketika jendela perpindahan Disember lalu.

Antara nama yang sudah mendapatkan jaringan peribadi mereka ialah penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo yang sudah menjaringkan dua gol dalam tiga penampilan.

Bagi penyokong Harimau Selatan, keampuhan jentera serangan bakal ditambah baik dengan kepulangan seorang lagi import berbisa, Bergson da Silva.

1766986

Khidmat Bergson pasti ditagih JDT dalam aksi di Stadium MBPJ pada Jumaat. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dia yang sebelum ini dilanda kecederaan ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC sudah kempunan untuk beraksi ketika bertemu Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC.

Namun, berdasarkan foto yang dikongsikan di laman media sosial pasukan, pemenang Kasut Emas Liga Super dua tahun berturut-turut itu dilihat sudah pulih daripada masalah kecergasan.

Jadi, dengan barisan kejurulatihan pasti mahu merehatkan Diogo, pemain berusia 32 tahun itu dijangka akan diturunkan ketika bertemu Selangor FC.

Persoalannya, adakah Solari akan memilih untuk terus menurunkannya apabila dia pasti memerlukan satu tempoh untuk kembali berada di tahap kecergasan terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram