Khidmat anak jati Kedah ditagih fans Sabah berdepan Penang


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Rizal (tengah) kembali menemui sentuhan selepas bergelut dengan isu kecergasan sebelum ini. — Facebook/Sabah FC

MESKIPUN masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam Liga Super, Sabah FC yang keciciran dua mata ketika berdepan Sri Pahang FC menyukarkan usaha mereka untuk memberi tekanan kepada pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT).

Beberapa keputusan pengadil yang menimbulkan kontroversi pastinya menjadi bahan bualan sehingga menyaksikan ketua jurulatih skuad Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah.

Persoalan itu turut ditujukan sebilangan pemain, seperti Saddil Ramdani dan Darren Lok yang mahu penalti diberikan kepada pasukan Borneo berkenaan.

Jadi, pertembungan menentang Penang FC pada Jumaat pastinya diharapkan menjadi medan untuk pasukan itu kembali ke landasan dengan tiga mata menjadi sasaran mereka.

Namun, dengan ketiadaan Kim Swee di kawasan teknikal, ia pasti menjadi satu cabaran buat Sabah FC yang amat memerlukan kehadirannya di Stadium Likas, Sabah.

Dalam usaha memastikan kemenangan mampu direkodkan, pertukaran pemain pastinya menjadi antara agenda utama bagi memastikan semua pemain berada di prestasi terbaik.

Antara pandangan yang mula dilontarkan penyokong Sang Badak adalah dengan meminta agar barisan kejurulatihan menurunkan pertahanan senior mereka, Rizal Ghazali.

334283728_1139174443420594_3300143791326188164_n

Rizal sudah menjadi tonggak utama skuad Sang Badak musim ini. Facebook/Sabah FC

Perkara itu ditekankan seorang peminat setia Sabah FC, Christ Evans yang melihat pasukan kedua Liga Super tersebut cukup terkesan dengan kehilangannya bersama benteng pertahanan.

"Ketiadaan Rizal di bahagian kanan untuk membuat larian-larian bertenaga jelas menganggu falsafah permainan Sabah FC ketika menentang Sri Pahang FC.

"Jafri (Firdaus Chew) ialah pemain yang bagus, tetapi dia dilihat lebih sesuai sekiranya bermain sebagai pemain sayap yang tidak memerlukannya melakukan tugas bertahan," katanya.

Jelas penyokong tersebut, sifat Kim Swee yang gemar menggunakan formasi 3-4-3 memerlukan seorang dengan kemampuan untuk beraksi sepanjang 90 minit dari segi bertahan dan menyerang.

Rizal sebelum ini terpaksa direhatkan apabila terdapat khabar angin yang mengatakan dia mengalami kecederaan, namun tiada laporan rasmi mengenainya.

Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu dilihat sudah menghidupkan kembali kariernya bersama skuad Sang Badak selepas satu musim yang sukar pada 2022.

Pandangan yang dilontar Christ itu diterima baik oleh rata-rata pengikut setia Sabah FC yang mengakui ketiadaan Rizal sedikit sebanyak mengecewakan pasukan tersebut.

"Dalam perlawanan itu, bola yang sepertinya tidak mahu berada dalam kotak penalti dan pengadil kurang baik jadi punca kita seri. Tapi betullah, setiap kali Rizal beraksi, dia gemar melakukan gerakan," kata Adrian Arie.

"Pendapat yang baik, positif dan logik kerana tidak salah untuk memberikan pandangan asalkan ia bersifat positif dan boleh diterima akal," kata Saruji Bin Anuar. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram