Belum 'panas' di Liga M tapi dah jadi rebutan, siapa peledak import dalam radar kelab gergasi Brazil?


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Dari kiri: Lira, Peres dan Diogo yang merupakan antara import Brazil yang beraksi di Liga Super musim ini. — Facebook

TATKALA Liga Super baru memanaskan enjin dengan menyaksikan saingan memasuki minggu kelima, timbul desas-desus berhubung seorang import baharu dari sebuah pasukan elit tanah air sedang dirisik kelab gergasi Brazil.

Import dari negara Samba itu dikatakan sedang dirisik kelab CR Flamengo yang berpangkalan di Rio de Janeiro.

Kelab yang dibintangi Gabriel Barbosa (Gabigol) itu dikhabarkan berminat dengan salah seorang penyerang Brazil yang baru ditandatangani sebuah kelab Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

335048922_165047369788766_2209996611971687537_n

Diogo mencetak nama sebagai antara penjaring terbanyak ketika ini dengan tiga gol. — Facebook

Ketika ini, kira-kira 18 import dari Brazil direkrut untuk bermain dengan sekurang-kurangnya 10 kelab Liga Super dari kelab gergasi Johor Darul Takzim (JDT) hinggalah kelab kerdil, PDRM FC.

Antara pemain Brazil yang beraksi di Liga Malaysia tentunya penyerang baharu sensasi JDT, Diogo Luis Santo yang sudah mencetak nama sebagai antara penjaring terbanyak ketika ini dengan tiga gol.

Selain Diogo, rakan senegaranya, Bergson da Silva juga merupakan bintang Brazil yang cukup popular dalam kalangan penyokong tempatan kerana ketajamannya sebagai peledak berbisa dengan 46 gol menerusi 36 penampilan sepanjang beraksi di Liga M musim lepas.

Penyandang tempat ketiga Liga Super 2022, Sabah FC juga merekrut dua import Brazil musim ini iaitu Jailton Paraiba yang bermain di posisi penyerang dan Gabriel Peres (pemain pertahanan).

334984909_1576349219513377_3231310065929580324_n

Penyerang Sabah FC, Jailton Paraiba. — Facebook

Begitu juga dengan Negeri Sembilan FC yang menggunakan dua khidmat import Brazil iaitu pemain baharu, Vinicius Leonel Da Silva dan bekas penyerang Penang FC, Anselmo Arruda da Silva (Casagrande).

Tidak ketinggalan Penang FC yang menandatangani Giovane Gomes dari kelab Caxias RS untuk mengisi bahagian serangan selain Adriano Narcizo, pemain tengah Harimau Kumbang yang ditandatangani dari Melaka United FC.

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga menyambar dua pemain import baharu dari Brazil bagi musim ini iaitu Willian Lira dan Jonathan Balotelli untuk bermain di posisi serangan.

335144021_604525734478872_1965466795756544762_n

Balotelli diperkenalkan sebagai pemain Sang Kenari untuk musim 2023. — Facebook

Pasukan berpangkalan di Pantai Timur, Kelantan United FC juga menggunakan khidmat tiga import Brazil iaitu Gregory Rocha Mendes Da Silva (penyerang), Devid den Santana Silva (tengah menyerang) dan Yan Victor (pertahanan) untuk mengharungi saingan Liga Super 2023.

Bagi Kuching City FC pula, mereka juga merekrut import Brazil untuk musim ini iaitu Célio Santos dan Aylton Ferreira Ananias (Alemao), namun kedua-duanya bermain di bek pertahanan.

Sementara itu, tiga muka lama import Brazil dari musim terdahulu berkhidmat dengan KL City FC (Herlison Caion), Sri Pahang FC (Lucas Silva) dan PDRM FC (Bruno Suzuki).

Jadi persoalannya, siapakah pemain import Brazil di Liga M yang berada dalam radar kelab CR Flamengo?

tweet flamengo

Tangkap layar ciapan Twitter Flamengo Tem Interesse bot. — Twitter

Berdasarkan ciapan Twitter Flamengo Tem Interesse bot, kelab gergasi Brazil itu dikatakan berminat dengan Balotelli yang kini bermain dengan KDA FC.

"Flamengo tem interesse no Atacante Jonathan Balotelli (Pasukan Flamengo berminat dengan penyerang Jonathan Balotelli)," ciapnya pada Khamis.

Namun akaun Twitter itu bukan akaun rasmi kelab Brazil berkenaan dan lebih tertumpu kepada laporan khabar angin berkenaan perpindahan pemain ke kelab tersebut.

Penyerang berusia 33 tahun yang memakai jersi nombor 89 ditandatangani secara kontrak selama setahun bersama skuad Sang Kenari.

Menurut transfermarkt.com, pemain itu dinilai pada tanda harga 350,000 Euro (RM1.61 juta) ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram