Khidmat ubi muda NSFC ditagih gantikan Mahali, Zaquan Adha ketika berdepan TFC


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Mampukah skuad Jang bangkit mendapatkan kemenangan pertama berdepan Terengganu FC? — Facebook/Negeri Sembilan FC

HARAPAN Negeri Sembilan FC untuk bangkit selepas kekalahan memalukan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) tidak kesampaian ketika aksi berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lepas.

Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyaksikan aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan itu terpaksa ditunda dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih tidak mengumumkan tarikh baharu.

Ia menyaksikan skuad Jang masih kempunan untuk mencatatkan kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini dengan hanya dua keputusan seri berjaya diraih.

Tambahan pula, kekalahan 0-7 yang dialami ketika berdepan JDT meletakkan mereka dalam kalangan pasukan dengan rekod pertahanan mengecewakan apabila mereka sudah dibolosi sebanyak lapan kali dalam tiga perlawanan.

Jadi, menjelang aksi berdepan Terengganu FC di laman sendiri, penyokong Negeri Sembilan pastinya mengharapkan keputusan positif mampu dicatatkan.

Mereka pastinya cukup risau dengan perlawanan itu apabila moral skuad Sang Penyu berada di tahap terbaik selepas mereka mengumpul tiga mata setelah menundukkan PDRM FC.

Tambahan pula, benteng pertahanan Terengganu FC juga dilihat sukar ditembusi dengan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner hanya dibolosi sebanyak tiga kali musim ini.

Oleh itu, bagi menghidupkan lagi peluang skuad Jang, penyokong mula mengharapkan agar ketua jurulatih, K Devan mengambil tindakan drastik terhadap kesebelasan utamanya.

335331645_3008307979471761_7126660203480110462_n

Mahali merupakan antara yang diharapkan untuk digugurkan berdepan Terengganu FC. Facebook/Negeri Sembilan FC

Bagi seorang penyokong Negeri Sembilan FC, Karl Nurmagomedov Zach, dua pemain senior pasukan, Mahali Jasuli dan Zaquan Adha Abd Razak perlu diletakkan di bangku simpanan.

"Ikut keadaan semasa Terengganu FC, mereka mempunyai sedikit harapan selepas menang berdepan PDRM FC, tetapi kalau Devan kemaskan jentera tengah dan serangan, Insya-ALLAH boleh menang.

"Yang penting, dia perlu gunakan budak muda, kemungkinan A. Selvan boleh diberikan penampilan penuh di samping Shahrel Fikri dan Sean Selvraj. Mahali dan Zaquan boleh diberikan 15 minit sahaja," katanya.

330084090_5606987432756489_3971407756069560006_n

Sean masih menunggu untuk mendapatkan penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Pandangan itu turut dikongsikan beberapa penyokong Negeri Sembilan FC yang juga mendambakan khidmat pemain lebih muda dalam aksi di laman sendiri itu kelak.

"Harap-harapnya, Sean boleh diturunkan dan Shahrel dapat beraksi," kata Alan Kecik.

"Sean dah boleh diletakkan dalam kesebelasan utama. Dari musim lepas, dia hanya beraksi sebagai pemain gantian. Harapnya diubahlah jentera serangan tu," kata Fruzz Fairuz.

Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu di Stadium Tuanku Abdul Rahman menyaksikan tuan rumah membawa pulang tiga mata penuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram