Duo Sang Penyu ketuai serangan berdepan NSFC


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Jordan Mintah mungkin pilihan utama untuk mengetuai jentera serangan TFC berdepan Negeri Sembilan pada Khamis. — Facebook/TFC

BARISAN pemain Terengganu FC (TFC) diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan mudah apabila menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada Khamis.

Penolong Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad Penyu perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2 Mac lalu, supaya dapat pulang dengan tiga mata penuh.

"Kita perlu berhati-hati dengan Negeri Sembilan kerana mereka dibarisi pemain berpengalaman, ditambah dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Saya harap pemain dapat fokus daripada awal hingga minit terakhir permainan. Jangan ulangi kesilapan sama ketika di Kedah yang menyebabkan kita dihukum dengan kekalahan tipis," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu pada Selasa.

Badrul berkata, kemenangan pertama yang dilakar TFC ke atas PDRM FC Sabtu lalu, tidak boleh menjadikan pemain terlalu selesa sebaliknya perlu meningkatkan mutu permainan bagi memastikan momentum kemenangan berterusan.

Tambahnya lagi untuk perlawanan pada Khamis, TFC berkemungkinan besar mengekalkan gandingan Jordan Mintah dan Adisak Kraisorn di posisi serangan, memandangkan Mintah yang diturunkan pertama kali pada perlawanan menentang PDRM FC, menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi walaupun gagal menjaringkan sebarang gol.

"Namun, kita perlu tunggu Ketua Jurulatih tentukan barisan kesebelasan utama. Prestasi semasa latihan juga perlu dinilai sebelum keputusan akhir," katanya.

Dalam pada itu, dia turut mengucapkan tahniah kepada pemain muda, Syafiq Ismail kerana terpilih ke Kem Latihan Pusat Harimau Malaya.

"Ini adalah kali pertama Syafiq tersenarai dalam skuad senior. Ia adalah satu motivasi untuk dia dan pasukan Terengganu.

"Saya harap dia dapat panggilan dan berpeluang menimba pengalaman di peringkat lebih tinggi," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram