TRIO penyerang Terengganu FC – Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut mendapat kecaman penyokong kerana mereka masih belum menjaringkan gol selepas empat perlawanan dalam saingan Liga Super.
Skuad Sang Penyu hanya meraih satu gol setakat ini, dan berada di tempat ketujuh carta Liga Super dengan kutipan empat mata.
Tetapi jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak melatah dengan persembahan anak-anak buahnya itu dan percaya bahawa mereka tetap akan mencetak nama masing-masing dalam perlawanan akan datang.
Pengendali dari Croatia itu berharap salah seorang daripada mereka akan membantu pasukan mendapat tiga mata penuh apabila Terengganu FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan pada Khamis.
“Saya dapat memahami jangkaan peminat, kerana mereka sangat bersemangat dengan pasukan kesayangan mereka ini.
"Namun untuk berlaku adil, anak-anak buah saya sudah menyumbang kepada pasukan walaupun tidak menjaringkan sebarang gol setakat ini.
Terengganu FC memperoleh kemenangan sulung selepas menewaskan PDRM FC 1-0. — Facebook/ Terengganu FC
"Mereka pemain yang bagus sebab walaupun mereka tidak menjaringkan gol, mereka sentiasa mencipta peluang dan itulah yang mereka lakukan selama ini," kata Steinbruckner.
Tambahnya, Mintah mempunyai tiga peluang ketika menentang PDRM FC namun, nasib tidak menyebelahinya kerana tidak berjaya menjaringkan gol.
"Tetapi saya percaya jaringan itu akan datang tidak lama lagi," katanya.
Terengganu FC memperoleh kemenangan sulung selepas menewaskan PDRM FC 1-0.
Ia juga merupakan gol pertama mereka dalam empat perlawanan hasil jaringan pemain pertahanan tengah Uzbekistan, Sardor Kulmatov, yang digelar Mr Butcher, yang mencetak gol pada minit ke-76.
Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan mahu pasukannya memanfaatkan sepenuhnya perlawanan di tempat sendiri menentang Terengganu FC.
“Kami memerlukan mata penuh untuk naik ke kelompok teratas liga dan kami mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan bagi perlawanan tersebut,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram