PERLAWANAN kelima Liga Super yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini bakal menyaksikan pertembungan hangat antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium MBPJ, Selangor pada Jumaat yang pastinya menghidangkan satu persembahan cukup menarik untuk disaksikan.
Pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe berkata, dia akan memilih untuk tidak turun dengan taktikal bertahan sepanjang 90 minit perlawanan.
"Kami tidak akan bertahan sahaja, terdapat 90 minit tempoh permainan, kami akan menyerang ke arah kubu pertahanan JDT," katanya kepada Nadi Arena.
Jelasnya, pasukan Lembah Klang itu bakal meletakkan kepercayaan kepada penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle yang sudah mula mendapatkan rentak dalam Liga Super.
Aksi JDT-Selangor amat ditunggu-tunggu penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Ayron seorang pemain yang berkualiti dan kami mengharapkan dia menghadirkan sumbangan jaringan. Buat masa ini, dia masih lagi mendapatkan keserasian bersama rakan sepasukan," katanya.
Ketika ini, finalis Piala Malaysia 2022 itu mempamerkan persembahan terbaik apabila masih belum tewas dengan hanya satu keputusan seri dicatatkan ketika menentang Sri Pahang FC.
Sepanjang perlawanan tersebut, skuad Gergasi Merah sudah semakin yakin di hadapan gawang gol lawan apabila mereka sudah menjaringkan sembilan gol dengan dua daripadanya disumbangkan del Valle.
Dalam masa sama, Cheng Hoe turut mengulas dua pemain skuad Harimau Selatan yang wajar diberikan perhatian selepas cukup menyerlah musim ini.
"Bertemu JDT sentiasa menjadi perlawanan utama. Mereka sentiasa mendapatkan banyak jaringan dalam setiap perlawanan. Endrick (dos Santos) harus dipantau sementara gerakan pemain sayap, Arif Aiman (Hanapi) turut diawasi," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram