‘Ketara berat sebelah dan menipu’, Pengarah Sabah FC syukur FAM pandang serius kontroversi pengadil


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Kim Swee (dua dari kanan) dilayangkan kad merah kerana memprotes keputusan pengadil perlawanan. — Stadium Astro

KEPUTUSAN seri yang dicatatkan ketika pertembungan antara Sabah FC dan Sri Pahang FC pada Ahad menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Antara pihak yang turut memberi pandangannya ialah pengarah Sabah FC, Datuk Jelani Hamdan dengan dia tidak henti-henti memberi pandangannya akan isu tersebut.

Dalam usaha mendapatkan keadilan atas perkara berkenaan, dia dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji bahawa penyelesaian terbaik dapat diambil.

"Alhamdulillah, FAM memandang serius dan akan ambil tindakan terhadap rungutan-rungutan penyokong, terutama isu pengadil yang membuat keputusan meragukan atau tidak professional.

"Saya tidak mahu ulas panjang dan lebar mengenai kes pengadil perlawanan antara Sabah FC dan Sri Pahang FC kerana siasatan sedang berjalan. Ketara betul berat sebelah dan menipu!" tulis Jelani di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam perlawanan itu, pengendali skuad Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) diarahkan meninggalkan kawasan teknikal jurulatih di Stadium Likas, Sabah kerana memprotes keputusan pengadil.

Ini kerana ulang tayang mendapati pertahanan skuad Tok Gajah menolak penyerang pasukan Borneo, Darren Lok ketika dia mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua perlawanan.

Ketika ditanya akan perkara itu, Kim Swee menegaskan bahawa dia tidak mahu memberi ulasan lanjut, selain mahu sesiapa yang menyaksikan perlawanan berkenaan sepatutnya mengulas insiden itu.

Dalam masa sama, Jelani yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menegaskan bahawa satu pertemuan sudah diadakan bersama jurulatih terbabit serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir selepas perlawanan itu.

"Untuk makluman selepas sahaja aksi dengan Sri Pahang pada Ahad, saya terus mendapatkan penjelasan dan info terkini dari Kim Swee dan CEO Sabah FC mengenai apa yang berlaku sehingga mengakibatkan DOKS dilayangkan kad merah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram