Hanis Farhana pasang impian bantu Malayan Tigress garang di pentas Sukan SEA Kemboja


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Antara aksi Hanis Farhana sewaktu mewakili Kelana United bagi saingan Liga Super Wanita Selangor.

BARU-BARU ini, Ketua Jurulatih bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zoubi, memanggil 47 pemain untuk menyertai sesi percubaan dan pemilihan skuad Malayan Tigress.

Sesi tersebut bakal diadakan selama empat hari dari Selasa sehingga Jumaat ini berlangsung di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya.

FAM memaklumkan sesi tersebut sebagai persiapan awal skuad Malayan Tigress mengharungi cabaran Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja, Mei ini.

Berdasarkan perkongsian dari FAM di laman Facebook rasmi mereka, barisan pemain itu juga telah terpilih berdasarkan pemerhatian Soleen dalam Festival Bola Sepak Wanita Serantau FAM dan Liga Super Wanita Selangor.

Antara pemain yang baru sahaja selesai beraksi dalam saingan Liga Super Selangor dan berjaya dipanggil oleh pengendali dari Jordan itu ialah Hanis Farhana Shamsul Azizan.

WhatsApp Image 2023-03-16 at 15.26.36

Hanis Farhana antara 47 pemain yang menjalani sesi percubaan dan pemilihan skuad Malayan Tigress. Facebook/FAM

Hanis Farhana yang juga pemain futsal kebangsaan itu tidak menafikan bahawa dia menyimpan hasrat untuk mewakili Malaysia daam Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei nanti.

“Semestinya sebagai pemain kita target (letak sasaran) untuk berada dalam pasukan kebangsaan. Jika saya dapat peluang sertai pasukan kebangsaan dan main untuk Sea Games, saya akan buat yang terbaik.

“Sama ada saya terpilih ataupun tidak, saya harap sangat dengan kehadiran jurulatih Soleen itu, akan membawa kesan untuk pasukan Malaysia pada Sukan SEA nanti,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Hanis Farhana juga sempat berkongsi mengenai kekalahan pasukannya, Kelana United pada perlawanan separuh akhir Liga Super Wanita Selangor menentang MBSJ dengan keputusan berkesudahan menerusi penentuan penalti (8-7).

WhatsApp Image 2023-03-16 at 15.25.31

Kelana United terpaksa akur tewas di tangan MBSJ dalam aksi separuh akhir.

Menurut pemain berusia 31 tahun itu, Kelana United pada awalnya sudah menguasai permainan namun rezeki tidak menyebelahi apabila perlawanan berakhir dengan sepakan penalti.

“Semestinya kecewa sebqb saya rasa secara keseluruhan kami yang pegang permainan. Daripada segi ball possession itu, saya rasa kami yang pegang. Ada a few shot dari kota penalti, cuma tak masuk. Bila dah sampai penalti memang, saya rasa tiada rezeki, peluang 50-50.

“Saya cakap kepada semua penalty takers yang penalti memang separuh-separuh peluang, boleh jadi sepakan yang saya ambil pun tidak masuk,” tambahnya.

Pemain yang pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2021 bagi acara futsal itu berharap agar Kelana United dapat meneruskan perjuangan pada kejohanan lain seperti Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2023 nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram