MPM yakin sentuhan Hannah Yeoh di KBS


  • Podium
  • Ahad, 04 Dis 2022

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. — Stadium Astro

PELANTIKAN Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu menerima sokongan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dengan percaya bahawa dia mampu mengangkat martabat 'Pergerakan Paralimpik'.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pengalaman Hannah sebagai bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pasti membantunya untuk berada dalam kedudukan lebih baik dalam memahami cabaran dihadapi Orang Kurang Upaya (OKU).

Tegasnya, hal itu berikutan kementerian yang pernah diduduki Hannah mengendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melaksanakan program buat OKU dan menguruskan Kad OKU.

"Melalui pengalaman beliau dalam kementerian dahulu, saya amat berharap YB Hannah akan lebih memahami keperluan OKU dan memberikan sokongan yang sewajarnya untuk terus memacu kedudukan Paralimpik di negara kita dan menghapuskan ketidaksamarataan terhadap OKU,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Megat, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menggiatkan penglibatan serta memajukan lagi golongan tersebut dalam sukan.

Deputy Minister of Women, Family and Community Development Hannah Yeoh being briefed by sweet heart Paris representative on how install baby car seat in the car during the Heels and Wheels car and road safety workshop for women in Putrajaya.MOHD SAHAR MISNI/The Star    

Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Kami akan terus memainkan peranan menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan OKU melalui sukan.

"Kami mempunyai atlet para bertaraf dunia yang telah mencapai pelbagai kejayaan. Kami juga mempunyai sistem sokongan kerajaan yang kukuh untuk mempromosikan sukan para di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman turut memberi ucapan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri atas pelantikan mereka dalam barisan Kabinet baharu.

Katanya, kedua-dua kementerian itu juga merupakan pihak berkepentingan utama MPM dalam pembangunan sukan para dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya di sekolah Pendidikan khas dan pemulihan OKU menerusi JKM. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram