Kelana Queen Ladies' Open dalam misi mencari 'Ratu Baharu'


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Barisan jawatankuasa kejohanan Kelana Queen Ladies' Open bergambar bersama trofi kejuaraan.

SIRI kedua Kelana Queen Ladies' Open anjuran Kelab Golf Negara Subang (KGNS) bakal menyaksikan kira-kira 100 pemain golf wanita berentap untuk 'ditabalkan' sebagai Ratu Baharu kejohanan itu.

Selepas kejayaan penganjuran sulung kejohanan itu yang diadakan secara tertutup pada tahun lalu, KGNS kini membuka peluang kepada pemain golf wanita dari dalam dan luar negara untuk merebut mahkota berprestij itu.

Tahun lalu, pemain KGNS, NG Say Huat dinobatkan sebagai juara edisi sulung menerusi sistem 'stableford' dan beliau dalam misi mempertahankan kejuaraan tersebut kali ini yang akan berlangsung pada 11 Mac ini.

Mengulas lanjut tentang kejohanan tersebut, Lady Covernor, Sharifah Khatijah Syed Abdul Rahman percaya menerusi konsep kejohanan terbuka, lebih ramai pemain akan menyertai edisi kedua tahun ini.

Ini katanya berdasarkan penyertaan pemain luar negara yang sudah mencecah 10 pemain termasuk dari Jerman, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Kita juga menerima banyak penyertaan dari kelab-kelab golf berhampiran dan jumlah penyertaan yang diterima setakat ini seramai 87 orang," katanya pada sidang media kejohanan itu baru-baru ini.

Acara itu bakal dimeriahkan dengan kehadiran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Aishah Rohani Tengku Mahmud bersama Tunku Temenggong Kedah, Dato Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdil Halim Mua'dzam Shah yang dijangka turut bersaing.

Tarikh tutup penyertaan pada 5 Mac ini dan setakat ini, penyertaan peserta termuda yang mengesahkan bertanding adalah berusia 30 tahun manakala yang paling berusia, 81 tahun.

Bayaran penyertaan sebanyak RM350 dikenakan bagi bukan ahli kelab manakala yuran RM150 untuk ahli kelab KGNS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram