KETAJAMAN penyudah di bahagian serangan amat diperlukan dalam memastikan pasukan dapat mencatatkan keputusan positif seterusnya mengutip mata penting dalam sesebuah kejohanan.
Permulaan Liga Super 2023 yang sudah masuk minggu ketiga menyaksikan pemain mula mencetak nama sebagai penjaring untuk kelab masing-masing.
Buat masa ini, import lincah Sabah FC, Saddil Ramdani mendahului senarai penjaring Liga Super 2023 dengan tiga gol, manakala untuk kategori penjaring tempatan pula ialah Arif Aiman Hanapi dan Corbin Ong (Johor Darul Takzim - JDT) serta Brendan Gan (Selangor FC), masing-masing dengan dua gol.
Saddil mendahului senarai penjaring Liga Super 2023 dengan tiga gol setakat ini. — Facebook
Berdasarkan statistik di laman web Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Saddil membuat keseluruhan tujuh percubaan (shots) dan enam percubaan tepat (shots-on-target) di depan pintu gawang.
Brendan juga merekodkan tujuh percubaan di mana dua daripadanya tepat, Arif Aiman (enam percubaan / empat percubaan tepat) manakala Corbin (empat percubaan / tiga percubaan tepat).
Menurut data sama, dua peledak Terengganu FC iaitu Sony Norde dan Ivan Mamut antara lima pemain yang merekodkan jumlah percubaan terbanyak sepanjang liga berlangsung setakat ini.
Sony Norde mencipta 15 percubaan namun tiada percubaan tepat manakala Ivan Mamut (11 percubaan / 3 percubaan tepat).
Data lima pemain yang mencatatkan jumlah percubaan terbanyak. — MFL
Tiga lagi ialah Fernando Forestieri (JDT) dengan 12 percubaan / 8 percubaan tepat, Adriano (Penang FC) (11 percubaan / 2 percubaan tepat) dan Willian Lira (Kedah Darul Aman FC - KDA FC) (11 percubaan / 1 percubaan tepat).
Dalam kalangan lima pemain itu, hanya Forestieri yang merekodkan statistik lebih baik dari segi percubaan tepat dengan dua daripadanya menghasilkan gol.
Dapat dilihat bahawa Sony dan Ivan tumpul walaupun merupakan antara pemain tertinggi yang melakar percubaan terbanyak sekali gus menyaksikan Sang Penyu ketandusan gol selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Ivan (kiri) dan Sony (tengah) antara pemain yang merekodkan jumlah percubaan terbanyak sepanjang liga berlangsung setakat ini. — Facebook
Mungkin sebab itulah pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner perlu memberi tumpuan kepada ketajaman penyudah bagi membolehkan jaringan gol terhasil untuk membantu pasukan mengutip mata berharga.
Dalam hal ini, mereka perlu mencontohi Forestieri yang dilihat paling efisien apabila membuat banyak percubaan serta memanfaatkan hampir kesemua percubaan tersebut dengan kadar 66.7 peratus.
TFC perlu segera memperbaiki kesilapan dari aspek tersebut supaya pemain tidaklah membuat percubaan melulu dan mensia-siakan peluang dimiliki apabila mendapat bola di depan pintu gawang.
Untuk rekod, bagi perlawanan seterusnya, TFC akan berdepan pasukan PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 11 Mac ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram