Dulu anggap kerja gila, kini Azhan Rani menghitung hari tawan gunung di Nepal


  • Hobi
  • Selasa, 14 Mac 2023

Pengalaman yang diperoleh sepanjang pendakian membuka mata mengenai nikmat kehidupan.

PELAKON terkenal tanah air, Azhan Rani bakal membuat pendakian ke Imja Tse atau dikenali sebagai Island Peak pada 2024 dan kini sedang membuat persediaan dari segi fizikal untuk menjejakkan kaki ke gunung di Nepal itu.

Menurut Azhan, pelbagai dugaan dan pengalaman diperoleh sepanjang pendakian yang telah membuka mata mengenai nikmat kehidupan.

Sebelum ini, pelakon berusia 47 tahun itu telah menyenaraikan beberapa tempat untuk membuat pendakian dan Island Peak adalah salah satu destinasi idamannya.

"Saya memilih Island Peak sebab ingin mencabar diri untuk mendaki gunung yang bersalji dan ia seperti Gunung Everest 2.0 kerana cuaca dan ketinggian yang agak ekstrem.

"Saya bukan pendaki profesional, tetapi saya pernah mengikuti beberapa misi naik gunung dan ia boleh dikatakan meletakkan saya ke arah pendaki profesional," katanya.

553

Azhan, bakal menjadi pendaki profesional.

Menurut pelakon drama Nur itu, minatnya untuk menceburi bidang pendakian berpunca daripada peristiwa yang berlaku ketika berada di Sabah.

"Dulu, saya memang tidak minat naik gunung, saya fikir hanya orang kurang waras sahaja naik gunung ini," kata Azhan.

Selepas sahaja menamatkan pembelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Sarawak, dia telah dijemput untuk menjadi juri dalam pertandingan drama teater di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan pada waktu malam.

Katanya, ketika berada dalam program itu, dia dan pihak juri yang lain berlepas dari Kota Kinabalu ke Kundasang pada pagi kerana ingin mengambil gambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

"Saya takjub melihat keindahan Gunung Kinabalu dan selepas balik, terlintas dalam fikiran kalau dari bawah sudah cantik, apa lagi pemandangan dari atas," kata Azhan.

Namun begitu, sebaik sahaja balik dari Sabah, dia tidak dapat melupakan keindahan pemandangan gunung itu dan terus menceritakan pengalaman tersebut kepada kru produksi ketika itu.

"Bukit Broga di Semenyih, Selangor merupakan pengalaman pertama saya dan terdapat beberapa lagi bukit yang saya daki antaranya Bukit Datu, Terengganu dan Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia," katanya.

WhatsApp Image 2023-03-13 at 03.49.33

Sesi penyerahan barangan pendakian yang dihadiri Azhan.

Lebih menarik lagi, setiap kali pelakon itu mendaki, ia adalah salah satu cara untuk menenangkan diri kerana ia merupakan tempat yang mana dia boleh berpisah dengan bidang lakonan tanpa perlu melayani sehala gosip dan kontroversi.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan oleh Azhan adalah ketika mendaki Gunung Rinjani, yang mana ia merupakan gunung pertama yang pernah didakinya selain mempunyai pelbagai kenangan kerana kesukaran yang perlu ditempuhinya.

Dalam pada itu, Azhan juga sempat berkongsi mengenai misi pendakiannya ke Island Peak itu adalah untuk membantu Persatuan Kebajikan Ahsanah Kuala Lumpur yang memerlukan pembiayaan perbelanjaan bulanan sehingga RM21,000 dan setiap tahun sebanyak RM250,000.

Untuk pengetahuan, pendakian ke gunung di Nepal adalah selama 18 hari iaitu pada 25 Februari 2024 hingga 13 Mac 2024. Ia merupakan pendakian teknikal di tanah tinggi bersalji setinggi 6,160 meter dari aras laut.

Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sosial, lima pendaki utama dalam misi tersebut telah menawarkan diri secara sukarela dengan perbelanjaan sendiri. Mereka yang terlibat merupakan pendaki yang berpengalaman dan pernah mendaki sehingga ketinggian lebih 6000 meter dan Gunung Kalapatthar dan Everest Base Camp di Nepal.

Selain Azhan Rani, antara pendaki yang terlibat ialah Pegawai Bomba Pasukan Khas Udara (ketua pendaki), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, Penolong Pengarang Berita Harian, Abdul Razak Raaf, Penyunting Berita TV Pertiwi, Norzasrudin Bin Mohamed Nor dan Pegawai Teknikal Penyelenggaraan, Kuala Lumpur Internationl Airport (KLIA2), Azmi Bin Mohd Ariffin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram