Ketiadaan Casemiro buka peluang 4 bintang Man United kembali bersinar


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Casemiro dilayangkan kad merah kerana didapati melakukan kekasaran terhadap pemain Southampton. — Agensi

LAYANGAN kad merah terhadap pemain tengah Manchester United, Casemiro menyaksikannya bakal kempunan tiga aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan suku akhir Piala FA menentang Fulham.

Dia yang mula menjadi pilihan penyokong The Red Devils diarahkan keluar padang apabila didapati melakukan terjahan kasar terhadap pertahanan lawan ketika berdepan Southampton pada Ahad lepas.

Ia pastinya menambah beban yang ketika ini ditanggung pengurus pasukan, Erik Ten Hag selepas dua lagi pemain tengah, Christian Eriksen dan Donny van de Beek disisihkan kerana kecederaan yang dialami.

Setakat ini, Fred serta Bruno Fernandes dilihat sebagai antara wajah yang bakal diturunkan dalam kesemua perlawanan itu dengan prestasi masing-masing sudah meningkat.

Persoalannya, siapakah yang mampu memikul tanggungjawab berkenaan dengan juara EPL 13 kali itu memerlukan kehadiran seorang pemain tengah bertahan dalam skuad?

Berdasarkan pemerhatian, terdapat empat calon yang sesuai untuk diturunkan meskipun kemampuan mereka tidaklah setanding Casmeiro.

1. Scott McTominay

Pemain tengah antarabangsa Scotland, Scott McTominay dilihat sebagai salah seorang pilihan terbaik apabila dia sudah cukup berpengalaman beraksi di samping Fred.

Gandingan itu sebelum ini sering digunakan bekas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dengan kedua-dua pemain memiliki kemampuan dan ciri-ciri berbeza.

0_GettyImages-1242948536

McTominay pastinya merupakan pilihan utama buat skuad Ten Hag. — Agensi

Bagaimanapun, dengan kehadiran Casemiro ketika jendela perpindahan musim panas lalu, McTominay dan Fred tidak lagi berada dalam kesebelasan utama dengan kerap.

Tambahan pula, dengan dia dilaporkan tidak lagi dibelenggu kecederaan, Ten Hag pastinya memilih untuk menurunkan pemain berusia 26 tahun itu.

2. Marcel Sabitzer

Kehadiran pemain kebangsaan Austria, Marcel Sabitzer jendela perpindahan musim sejuk lalu membangkitkan kegembiraan buat penyokong Manchester United.

Namun, dalam dua aksi EPL sebelum ini, dia terpaksa digugurkan daripada skuad selepas juga mengalami kecederaan dengan tiada laporan lanjut diberikan pihak kelab.

Marcel-Sabitzer-during-his-Man-Utd-debut

Adakah Sabitzer akan diletakkan dalam kesebelasan utama selepas ini? — Agensi

Tetapi, berdasarkan pengumuman skuad antarabangsa Austria untuk aksi persahabatan selepas ini, dia sepertinya sudah bersedia untuk kembali berada di atas padang.

Selain itu, pertembungan tersebut pastinya menjadi satu medan untuknya membuktikan kemampuannya, sekali gus menghidupkan semula reputasinya bersama kelab EPL itu.

3. Kobbie Mainoo

Pemain berusia 17 tahun, Kobbie Mainoo melakukan kejutan kepada pihak lawan apabila diberikan penampilan pertama dalam aksi Piala EFL.

Dia kemudiannya terus membuktikan kredibilitinya bersama skuad utama apabila diberikan peluang beraksi dalam saingan EPL dan Piala FA.

0_Manchester-United-v-Blackburn-Rovers-U18-Premier-League

Mainoo sudah beraksi dengan cukup baik setiap kali diberi peluang. — Agensi

Jadi, ketiadaan Casemiro memberi peluang untuk mendapatkan debut penuh setelah sekali lagi mencuri perhatian ketika aksi Liga Eropah UEFA (UEL) menentang Real Betis.

Persoalannya, dengan kehadiran McTominay dan Sabitzer, adakah Ten Hag akan menurunkannya, lebih-lebih lagi dengan jadual semakin mencabar ketika ini?

4. Zidane Iqbal

Ketika aksi pramusim sebelum ini, seorang lagi pemain tengah muda, Zidane Iqbal turut mempamerkan kebolehannya dengan beberapa penampilan bersemangat.

Bagaimanapun, setakat ini, dia masih menunggu peluangnya untuk bersama skuad utama selepas Iqbal hanya diletakkan dalam skuad simpanan.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 19.53.30

Zidane masih belum mendapatkan penampilan pertamanya bersama skuad senior The Red Devils. — Agensi

Melihat kepada beberapa klip yang dikongsikan di media sosial, pemain berusia 19 tahun tersebut sepertinya sudah bersedia untuk mendapatkan penampilan pertamanya bersama skuad senior.

Tetapi, dengan peluang Mainoo masih samar-samar, mampukah Iqbal diberikan kepercayaan untuk mengemudi barisan tengah Manchester United selepas ini? — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram