LIMA gol yang dijaringkan Erling Haaland membawa Manchester City ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan cukup bergaya apabila membelasah RB Leipzig 7-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 awal pagi Rabu.
Haaland menjaringkan menjaringkan hatrik dalam separuh masa pertama, termasuk dua gol dalam tempoh dua minit, sebelum menambah dua lagi jaringan selepas waktu rehat perlawanan di Stadium Etihad untuk City membuktikan keunggulan dengan kemenangan agregat 8-1.
Lionel Messi dan Luiz Adriano adalah satu-satunya pemain yang menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan dalam kejohanan UCL.
Haaland mendapat trofi 'Man of the match' selepas membantu City layak ke peringkat suku akhir UCL. — Facebook/Man.City
Dia sebelum itu turut memecahkan rekod sebagai pemain termuda dan terpantas mencecah 30 gol dalam saingan UCL dan ketajamannya di depan gawang serta sejarah yang dipahatnya sudah pasti membuatkan Haaland menjadi buah mulut di Eropah untuk tempoh yang panjang tidak kira apa yang terjadi selepas ini.
Pada usia 22 tahun, dia juga pemain termuda yang mengatasi rekod Kylian Mbappé, ketika menjaringkan gol ke-30 dalam UCL.
Haaland memulakan perlawanan kali ini dengan sepakan penalti selepas insiden bola terkena tangan pemain lawan.
Dia kemudian menyempurnakan sepakan penalti itu sebelum menggandakan jaringan peribadinya dengan menanduk masuk lantunan bola susulan percubaan awal Kevin de Bruyne.
Haaland kemudian mencatatkan jaringan hatrik di penghujung babak pertama apabila menerima tandukan Ruben Dias sebelum melakukan penyudah jarak dekat.
Alf Inge bapa kepada Halaand dan merupakan bekas pemain Manchester City. — Agensi
Bapanya, bekas pemain City, Alf Inge, dilihat bersorak kegembiraan di hadapan orang ramai, selepas Haaland menjaringkan gol keempat pada minit ke-54 dan gol kelimanya pada minit ke-57.
Haaland digantikan selepas 63 minit, dengan City mendahului 6-0 pada perlawanan itu dan 7-1 secara agregat.
Gol daripada Ilkay Gundogan dan Kevin de Bruyne melengkapkan kemenangan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram