Syafiq Ahmad antara 4 bekas bintang HM kurang minit permainan di Liga Super 2023


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Penyokong berharap Shahrul dapat diturunkan secara lebih kerap di pentas saingan domestik. — Facebook

DALAM kerancakan saingan Liga Super 2023 yang memasuki minggu keempat, ada beberapa pemain penting yang sebelum ini menjadi tunjang utama pasukan nampak agak bergelut untuk mendapatkan minit permainan pada musim ini.

Jika sebelum ini keresahan penyokong disuarakan kepada bek pertahanan kental Johor Darul Takzim (JDT), Shahrul Saad yang hanya masuk sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan pertama Harimau Selatan.

Terbaharu keresahan sama disuarakan kepada seorang lagi pemain JDT, Syafiq Ahmad yang baru memperoleh 10 minit 40 saat masa permainan dalam tiga perlawanan, menurut statistik yang dikeluarkan di laman web Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Penyerang Harimau Selatan itu masuk sebagai pemain gantian ketika aksi bertemu KL City FC pada 1 Mac lalu dan bermain selama 10 minit, manakala dalam dua perlawanan lain menentang Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC, Syafiq sekadar memanaskan bangku simpanan.

328673214_1158124188194956_5277691239819621975_n

Syafiq sekadar meraih kira-kira 10 minit masa permainan setakat ini. — Facebook

Bagi musim lepas, Syafiq tidak banyak mengasah 'taringnya' apabila hanya mengumpul 291 minit masa permainan dalam aksi di saingan Liga Super.

Selain Syafiq, rakan sepasukannya, Shahrul pula baru mengutip 32 minit masa permainan setakat ini ketika diturunkan pada babak kedua perlawanan bertemu Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC.

Nasib sama juga dapat dilihat pada dua pemain senior Sabah FC iaitu Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar apabila mereka kurang diturunkan beraksi bersama skuad Sang Badak musim ini.

334583355_901101127799081_3609322995163242102_n

Amri Yahyah masih relevan buat pasukan Sabah FC. — Facebook

Kedua-dua tonggak The Rhinos itu merekodkan kira-kira 28 minit masa permainan dalam tiga perlawanan Sabah FC setakat ini yang memperlihatkan kemenangan bergaya kepada pasukan Borneo tersebut.

Bagi Amri, meskipun dia sudah menjangkau usia 42 tahun, peranannya dirasakan masih relevan dalam pasukan berdasarkan prestasi membanggakan pada musim lepas.

Cuma mungkin khidmat Amri kurang diperlukan musim ini memandangkan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee mahu memanfaatkan sebaiknya khidmat Jacob Njoku dan Darren Lok yang baru ditandatangani musim ini.

334757728_1159258194782528_150118465249381773_n

Baddrol masih memiliki impak tersendiri buat Sabah FC kerana aura kaptennya. — Facebook

Begitu juga dengan Baddrol apabila import baharu yang direkrut pasukan itu, Telmo Castanheira dapat memainkan peranan yang pernah digalas oleh bekas kapten Sang Badak itu.

Walaupun kedua-dua pemain berpengalaman itu sudah mula duduk 'bench', mereka masih memiliki impak tersendiri buat Sabah FC berdasarkan kredibiliti atas padang.

Bahkan kedua-duanya sudah menempa nama dan mencipta momen tersendiri dalam saingan Liga Malaysia ketika berkhidmat dengan Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC.

Kim Swee juga tentunya ada perancangan tersendiri buat skuad The Rhinos yang bakal bersaing dalam saingan lebih besar iaitu kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram