SERAMAI tujuh muka baharu yang mendapat panggilan ke kem latihan Harimau Malaya di Johor Bahru, sebagai persediaan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 berdepan Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon menyenaraikan 27 pemain yang mana sembilan daripadanya adalah pemain Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022, Januari lepas.
Senarai penuh 27 pemain Harimau Malaya. — Facebook/FAM
"Antara pemain baharu dipanggil kali ini ialah penjaga gol Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Feroz Baharudin dan Nooa Laine,” menurut kenyataan itu.
Menarik dalam senarai pemain baharu itu, Laine sebelum ini pernah terpalit dengan isu kontroversi yang mana dia didakwa meminta sejumlah wang kepada FAM sebagai syarat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan bagi Kejohanan Piala Raja Thailand.
Laine kini beraksi di Liga Finland. — Instagram
Bagaimanpun pemain kacukan Malaysia-Finland itu bersama agensinya, X-One menepis dakwaan mereka meminta bayaran untuk menyarung jersi pasukan negara.
Pada masa yang sama, terdapat dua lagi pemain baharu dałam senarai itu yang pernah terpalit dengan itu kontroversi iaitu bintang naturalisasi Endrick dos Santos dan Paulo Josue.
Berikut Majoriti menyenaraikan kisah kontroversi yang pernah menyelubungi dua tonggak naturalisasi baharu Harimau Malaya:
1) Paulo Josue
Josue beraksi di Liga Malaysia sejak 2017. — Facebook/KLCity
Selepas hampir tujuh tahun menetap di Malaysia sebagai pemain Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2017, Paulo Josue akhirnya diumumkan sebagai pemain keenam yang mendapat kerakyatan negara hasil projek naturalisasi.
Pemain berusia 34 tahun itu membuat lebih daripada 80 penampilan dalam semua pertandingan bersama skuad The City Boys dan pencapaian terbaiknya ialah membawa KL CIty ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 serta muncul penjaring terbanyak kejohanan tersebut.
Meskipun pada awalnya ramai penyokong tidak bersetuju untuk melihat Josue menyarung jersi Harimau Malaya kerana usianya namun harus diakui kapten KL CIty itu mampu memberi impak positif buat jentera tengah pasukan kebangsaan.
Namun, Josue difahamkan hampir tidak mendapat kad pengenalan Malaysia apabila dikatakan dia hampir berhijrah ke Indonesia bagi menyertai pasukan Liga 1 Indonesia itu pada musim 2021, Persib Bandung.
Prestasi cemerlangnya bersama pasukan Lembah Klang itu membuatkan Persib Bandung berminat dengan Josue dan percaya bahawa pemain berpengalaman itu mampu membantu mereka menjadi juara Liga Indonesia musim 2021-2022.
2) Endrick dos Santos
Endrick sering menjadi kesebelasan utama JDT. — Facebook/JDT
Bintang baharu Johor Darul Takzim (JDT), Endrick Dos Santos sah didaftarkan sebagai pemain naturalisasi untuk musim 2023 selepas hampir enam tahun berada di Malaysia.
Sebelum menyertai pasukan Harimau Selatan, pemain berusia 27 tahun itu bermain di Malaysia sejak 2018 dengan menyertai Felcra dan kemudian menyertai Selangor pada 2019.
Dari 2020 hingga 2022, Endrick bermain untuk Pulau Pinang dan mengetuai skuad Harimau Kumbang merangkul gelaran Liga Perdana pada 2020, selain membantu mereka menduduki tempat ketiga dalam Liga Super pada 2021.
Di sebalik prestasi cemerlang Endrick sepanjang beraksi di Liga M, pemain kelahiran Brazil itu pernah dikritik legenda bola sepak Selangor, Datuk Santokh Singh.
Sewaktu hadir ke perlawanan Selangor FC menentang Petaling Jaya City FC pada 2019, bekas pemain kebangsaan itu tidak berpuas hati dengan kualiti permainan pemain import Gergasi Merah dan salah seorang daripadanya ialah Endrick.
Selain Endrick, Taylor Regan (Australia), Antonio German (Grenada), Rufino Segovia (Sepanyol), Endrick Dos Santos Parafita (Brazil) dan Michal Nguyen (Vietnam) ialah pemain import Selangor ketika itu.
Santokh berkata, barisan pemain import itu tidak memenuhi jangkaan dan beraksi dengan persembahan yang kurang memuaskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram