PERSATUAN Bola Sepak Syria mengesahkan bahawa bekas ketua pasukan bola sepak antarabangsa Syria, Ahmed Al-Saleh dilarang bermain bola sepak seumur hidup selepas menyerang dan meludah pengadil dalam perlawanan liga domestik liga utama.
Pemain pertahanan Al-Jaish itu dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas pemain Al-Wathba dan dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil dalam pertembungan Liga Pro Syria bulan lalu.
Al-Saleh juga kemudian naik angin dan cuba menyepak pengadil berkenaan beberapa kali dengan pemain kedua-dua pasukan cuba menghalangnya.
Bukan itu sahaja, gambar televisyen juga menunjukkan pemain berusia 33 tahun itu menendang kerusi tepi padang ketika dia meninggalkan perlawanan tersebut dalam keadaan marah.
Selepas meneliti laporan pengadil perlawanan 3 Februari, Jawatankuasa Tatatertib FA Syria mendapati bahawa Al-Saleh menendang, menghina dan meludah terus kepada pengadil.
Dilaporkan, Al-Saleh terus memaki pengadil di dalam bilik persalinan selepas perlawanan berkenaan.
Jawatankuasa Tatatertib juga mengenakan hukuman gantung seumur hidup terhadap Al-Saleh yang bermakna dia tidak akan dapat memainkan sebarang aktiviti sukan pada masa hadapan termasuk kejurulatihan.
Sebagai tambahan kepada larangan itu, Al-Saleh didenda 1.5 juta pound Syria (RM2.7 juta) dan kelab Al-Jaishnya didenda RM5.4 juta kerana penyokong mereka berulang kali menghina pengadil.
Semua penalti adalah muktamad dan tidak tertakluk kepada rayuan FA Syria.
Al-Wathba menewaskan Al-Jaish 1-0 dalam pertembungan teratas liga dan mendahului liga utama Syria dengan kelebihan satu mata mengatasi tiga kelab, termasuk Al-Jaish, pada pertengahan musim ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram