PERAK FC melakar kejutan apabila membawa pulang penyerang berbakat, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang sebelum ini berkelana di Liga Jepun demi menimba pengalaman.
Khabar gembira itu diumumkan ketika majlis pelancaran jersi skuad Seladang bagi mengharungi musim Liga Super 2023 yang lebih mencabar dengan format baharu.
Kejutan itu seperti menyahut seruan penyokong Perak FC yang sebelum ini mengharapkan ketua jurulatih baharu, Lim Teong Kim membina semula skuad The Bos Gaurus dengan kemasukan bintang-bintang berbakat besar terutamanya pemain muda.
Nama Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim antara yang meniti di bibir penyokong, mengharapkan agar perpindahan kedua-dua pemain tersebut menjadi realiti.
Kini, satu daripadanya sudah termakbul dan pastinya penyokong Perak FC gembira dengan transformasi yang dilakukan Teong Kim untuk mengembalikan skuad Seladang ke era kegemilangannya.
Teong Kim dalam sidang media ketika majlis tersebut berkata, segala persiapan bagi mengharungi cabaran musim baharu berjalan dengan lancar.
Namun katanya, penyokong perlu memberikan masa kepada skuad baharu ini untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.
"Kita nak bermain dengan bola sepak yang baik supaya penonton yang datang lihat kita bermain gembira dan beri sokongan kepada kami kerana kami ingin maju.
"Itu memang benar kerana ini team baru dan perlu masa diberi kepada mereka untuk menyesuaikan dengan cara permainan yang diterapkan oleh saya.
"Saya berharap media, media Perak, penonton dan penyokong memberi kita masa kerana pemain-pemain ini memerlukan masa.
"Dan Rome is not build in one day. This is most important thing," katanya pada sidang media yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Perak FC pada Jumaat.
Hadi Fayyadh sebelum ini berkelana ke Liga Jepun.
Mengulas tentang keputusan perlawanan percubaan yang diharungi baru-baru ini, Teong Kim berkata, keputusan yang dicatat bukan satu persoalan tetapi dia akui ada perkara yang perlu diperbaiki.
"Kita bermain dengan corak bola sepak menarik cuma penyudah belum capai tahap optimum.
"Semua pemain berusaha keras dan saya pasti sampai masanya kita akan berjaya.
"Memang saya mahukan pemain import saya jaringkan gol, tapi dia perlukan masa.
"Malah Ronaldo di Manchester United perlukan masa. Semua orang perlukan masa. Kita perlu berikan mereka masa.
"Begitu juga Hadi yang perlukan masa. Saya harap anda semua bersabar untuk beri kami masa," katanya.
Mengulas tentang masa yang perlukan untuk mencipta kejayaan, Teong Kim memberi perumpamaan yang sedang dilalui kelab gergasi England, Manchester United.
"Manchester United baru tandangan pengurus pada musim ini dan masih bergelut untuk melakukan perubahan besar.
"Saya akan cuba yang terbaik untuk berjaya pada musim ini. Dan kami akan lakukan yang terbaik untuk berjaya. Itulah sasaran kami.
"Macam saya katakan, kami mahu penyokong menikmati perlawanan yang menunjukkan corak permainan bersungguh-sungguh. Kami tidak akan mengecewakan anda semua," katanya menjawab soalan yang diajukan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram