‘Orang tak tahu apa saya lalui di Jepun’, Hadi Fayyadh perlu lebih masa letus impak bersama The Bos Gaurus


  • Podium
  • Selasa, 17 Jan 2023

Hadi Fayyadh bakal menyarung jersi pasukan Perak FC pada musim depan. — Facebook/Perak FC

SELEPAS empat tahun berkelana di negara Jepun, bekas penyerang kebangsaan, Hadi Fayyadh bakal kembali beraksi di Liga Malaysia selepas disahkan akan mewakili pasukan Perak FC pada musim depan.

Perak merupakan kelab kedua yang pernah diwakili pemain itu selepas Johor Darul Takzim (JDT) dan misinya kembali ke Malaysia adalah untuk meraih pencapaian yang lebih baik selepas mendapat pengalaman luas ketika beraksi di Liga J sejak musim 2019.

Salah satunya matlamat yang ingin dicapai semestinya mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan kerana menyedari bahawa posisi penyerang merupakan tunjang utama dalam esebuah pasukan dan beliau difahamkan percayai bahawa Perak merupakan pilihan tepat buat dirinya.

Namun, pemain berusia 23 tahun ini sedar perjalanannya pada musim depan tidak mudah dan semestinya mahukan lebih masa untuk beliau berada di tahap yang diinginkan.

hadii

Hadi ketika beraksi di kelab Divisyen Dua Liga Jepun (J2) Fagiano Okayama sebelum ini. — Instagram/HadiFayyadh

“Saya percaya rezeki ada di mana-mana dan saya nampak kesungguhan Perak yang inginkan khidmat saya selain yang turut memberi harapan kepada saya adalah jurulatih Lim Teong Kim yang membuatkan saya rasa dihargai.

“Peluang tidak akan datang selalu dan sekarang inilah peluang untuk saya kembali ke Malaysia dan bermain dengan Perak, cuma memang akan ambil masa juga sebab saya dah lama di Jepun, tetapi saya percaya dengan barisan kejurulatihan di Perak dapat bantu saya melakukan lebih baik musim ini.

“Sudah tentu sasaran saya adalah untuk menjaringkan gol dan ingin menjadi penyerang terbaik tetapi macam saya cakap, semuanya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan saya juga kena menunjukkan contoh yang baik kepada pasukan serta juga rakan-rakan lain”, katanya seperti dilaporkan MFL.

Mengulas lanjut mengenai prestasinya bersama pasukan Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu sebelum ini, Hadi menyifatkan dia telah berusaha sebaik mungkin untuk belajar sesuatu di sana meskipun kurang minit bermain dan itu tidak menghalang dirinya untuk terus bekerja keras mengejar impian lebih besar selepas ini.

“Bagi saya, orang tidak tahu apa yang saya lalui di sana dan apa yang mereka nampak adalah hanya 1 peratus sahaja.

“Untuk berada di sebuah negara orang tidak mudah tetapi saya tahu saya telah melakukan yang terbaik selepas empat tahun dan saya percaya rezeki ada di mana-mana.

“Sebab itu saya harap tahun ini akan menjadi yang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu tetapi sudah tentu ianya akan mengambil masa, namun saya percaya dengan suasana dan bimbingan di sini, saya boleh melakukannya”, tambahnya.

Perpindahan pemain itu sekali gus menyaksikan barisan penyokong Perak kian meletakkan harapan tinggi kepada pemain itu selain turut mengharapkan agar trofi kejuaraan liga super mampu dibawa pulang ke negeri Perak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram