PADA musim ini, Faisal Halim diperkenalkan sebagai pemain baharu Selangor FC bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.
Di Selangor FC, Faisal dilihat mengenakan jersi bernombor 7 sekali gus menjawab persoalan penyokong Gergasi Merah mengenai nombor jersi Merah Kuning pemain sayap lincah berkenaan.
Ia turut menutup tanya tanya sama ada pemakai jersi nombor 7 Gergasi Merah sebelum ini, Mukhairi Ajmal bersedia untuk melepaskan jersi tersebut kepada Faisal yang juga 'abangnya' di skuad Harimau Malaya.
Faisal Halim memakai jersi nombor 7 di Selangor FC. — Facebook / Selangor FC
Di skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon, Faisal turut menyarungkan jersi bernombor 7 dan amat sinonim dengan jolokan FH7 dalam kalangan peminatnya.
Ada apa dengan nombor 7? Dalam bola sepak, pemakaian jersi nombor 7 dianggap satu penghormatan yang diberikan kepada pemain handalan.
Lihat sahaja di luar negara, pemain prolifik yang menyarungkan jersi nombor 7 termasuklah Cristiano Ronaldo yang dianggap 'king' dalam bola sepak.
Terengganu FC memberikan jersi nombor 7 kepada Ivan Mamut. — Facebook / Terengganu FC
Di Liga M, selain Faisal, ada lagi tiga pemain bintang yang baru ditandatangani bagi musim ini turut menyarungkan jersi bernombor 7 di kelab masing-masing.
Jersi nombor 7 Faisal yang ditinggalkan di Terengganu FC menjadi milik Ivan Mamut, pemain import dari Croatia yang menyertai skuad Sang Penyu musim ini.
Penyerang yang berusia 25 tahun itu memiliki profil digeruni memandangkan kelab terakhirnya adalah Steau Bucharest dari Romania yang beberapa kali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.
Hadi Fayyadh bersama jersi Perak FC musim ini. — Facebook / Perak FC
Selain Ivan, muka baharu yang menyarung jersi nombor 7 musim ini ialah bekas penyerang kebangsaan, Hadi Fayyadh yang ditandatangani skuad Perak FC.
Empat tahun berkelana di negara Jepun, Hadi Fayyadh mempunyai misi untuk meraih pencapaian yang lebih baik selepas mendapat pengalaman luas ketika beraksi di Liga J sejak musim 2019.
Pastinya Hadi Fayyadh bakal menjadi pemakai jersi nombor 7 yang diingati dalam lembaran sejarah Perak FC musim ini selepas melalui musim suram pada tahun lepas.
Nur Shamie menyarung jersi nombor 7 di Sri Pahang FC. — Facebook Sri Pahang FC
Jersi nombor 7 bukanlah asing bagi pemain sayap baharu, Sri Pahang FC, Nur Shamie Iszuan Amin yang ditandatangani daripada kelab Sarawak United FC.
Di kelab Ngap Sayot pada musim lalu, pemain berusia 27 tahun itu turut menyarungkan jersi nombor 7 sebelum pasukan tersebut tidak dibenarkan bertanding dalam Liga M 2023 berikutan kegagalannya meraih lesen kebangsaan.
Untuk rekod, jersi bernombor pertama kali digunakan secara profesional di kelab Liga Inggeris pada tahun 1928.
Mengikut sistem pernomboran jersi bola sepak tradisional, nombor 7 lazimnya dipakai oleh pemain sayap kanan.
Baddrol memakai jersi nombor 7 di Sabah FC untuk dua musim berturut-turut. — Facebook Sabah FC
Di Liga M, pemain prolifik yang sangat sinonim dengan jersi nombor 7 adalah legenda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar hingga dia mendapat jolokan BB7.
Legasi yang ditinggalkan pemain itu selama 16 tahun di skuad Hijau Kuning cukup sukar ditandingi hingga jersi nombor 7 miliknya masih eksklusif buat dua musim berturut-turut.
Di Sabah FC, Baddrol masih menyarungkan nombor keramat itu, selain bertindak sebagai kapten pasukan.
Aidil Zafuan memakai jersi nombor 7 di JDT sejak tahun 2013.
Pemain sezaman Baddrol, Aidil Zafuan juga masih mempertahankan jersi nombor 7 yang dipakai di kelab Johor Darul Takzim (JDT) sejak menyertai Harimau Selatan pada tahun 2013.
Pemain pertahanan itu muncul satu-satunya pemain yang masih kekal bersama kelab itu sejak revolusi besar-besaran dilancarkan oleh pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sementara itu, di Negeri Sembilan FC, jersi nombor 7 milik pemain berbakat, Sean Selvaraj manakala di Kelantan FC, ia dipakai oleh pemain penyerang, Arip Amiruddin dan Romel Morales (KL City FC). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram