Dapat 'call-up' kem latihan Harimau Malaya, pemilihan 3S bikin fans pelik


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Dari kiri: Syameer, Syafiq, Muhammad Syahmi dilihat tidak mempunyai minit perlawanan yang memberangsangkan di JDT dalam perlawanan awal musim ini.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa mengeluarkan senarai rasmi 27 pemain yang bakal menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula Sabtu ini.

Panggilan tersebut merupakan persediaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Pengumuman itu pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air kerana ketika aksi Piala AFF 2022 Januari lalu, pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon dikatakan tidak dapat menampilkan kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya.

Ini kerana pada waktu itu, terdapat 14 pemain yang menolak panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan bola sepak rantau Asia Tenggara itu atas faktor kepadatan jadual perlawanan.

Dalam senarai terbaharu dikeluarkan itu, Pan-gon hanya mengekalkan seramai sembilan daripada 23 pemain skuad Harimau Malaya yang beraksi pada dalam saingan Piala AFF baru-baru ini.

335169014_1317564528809327_1828959033258406669_n

Senarai nama 27 pemain yang dipanggil bagi menghadiri tugasan bersama skuad kebangsaan. Facebook/FAM

Sementara itu, terdapat 13 pemain lagi diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam pasukan sepanjang kem latihan pusat nanti.

Melihat kepada senarai dikeluarkan, rata-rata peminat bola sepak tempatan menyifatkannya sebagai sangat berkualiti memandangkan ia terdiri daripada pemain memiliki nama besar dalam bola sepak negara ketika ini.

"Padu dan mantap setiap posisi, Ayuh Harimau Malaya," kata Shahrin Shah.

"Nampaknya kali ini memang betul-betul berbeza. Semua nama bersar dalam Malaysia sudah ada. Inilah masanya kita buktikan sesuatu. Ayuh Malaysiaku," tulis Pn Umairah.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan peminat yang mempersoalkan keberadaan beberapa nama dalam panggilan skuad kebangsaan kali ini.

92D7D3C8-BF73-4ED1-A80F-EED723247DEC

Syameer mengalami kecederaan di bahagian lutut pada musim lepas sehingga menyebabkan dia terpaksa disisihkan daripada pasukan untuk tempoh kira-kira tujuh bulan.

Antara tiga nama disentuh ialah pemain tengah, Syamer Kutty Abba; penyerang, Syafiq Ahmad dan pertahanan, Muhammad Syahmi Safari.

Menurut mereka, ketiga-tiga pemain yang beraksi bersama skuad Johor Darul Takzim (JDT) itu dilihat tidak mempunyai minit permainan memberangsangkan pada permulaan musim ini berbanding pemain lain yang turut beraksi di posisi sama.

Dalam pada itu, ada antaranya turut meragui keupayaan pemain yang baharu pulih daripada kecederaan panjang seperti Syameer untuk beraksi di tahap terbaik ketika menyarung jersi Harimau Malaya.

"Syafiq Ahmad, Syameer dan Syahmi, bila mereka main Liga Super?" soal Wan.

"Memang pelik juga. Tapi mungkin kelebihan dia boleh main banyak posisi sebagai pemain sokongan," ujar Khairilanwar Omar yang menyentuh mengenai pemilihan Muhammad Syahmi dalam skuad kebangsaan.

312669

Syafiq menyumbang dua gol ketika membantu skuad Kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

"Syamer Kutty yang baru pulih terpilih berbanding Afiq Fazail dan Hong Wan," tulis Karunia Rodríguez.

Pada masa sama, Ikhwan Dinie pula berpandangan tindakan Pan-gon memilih Syafiq itu memberikan petanda bahawa skuad negara kini ketandusan penyerang tempatan yang berkualiti untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

"Apabila nama Syafiq Ahmad naik, ini signal kita memang kekurangan penyerang negara," katanya.

Untuk rekod, Syameer, 25 tahun dan Syafiq, 27 tahun yang masing-masing mempunyai 27 dan 34 penampilan bersama skuad kebangsaan belum pernah dipilih sebagai pemain kesebelasan utama JDT dalam empat perlawanan pertama liga pada musim ini.

Kedua-dua pemain itu yang merupakan tonggak utama pasukan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 hanya tampil sebagai pemain gantian dengan Syameer dalam dua perlawanan manakala Syafiq pula hanya satu perlawanan.

Malaysian’s Syahmi Safari (left) sliding for the ball with Thailand’s Korrakot Wiriya-Udomsiri(right) during the FIFA World Cup Qatar 2022 and AFC Asian Cup China 2023 Second Round Group G match in National Bukit Jalil Stadium. AFIQUE YUSOFF/The Star

Muhammad Syahmi pernah membuat 18 penampilan bersama skuad utama negara.

Sementara itu, Muhammad Syahmi yang berusia 25 tahun masih belum membuat sebarang penampilan dengan dia hanya beraksi dalam separuh daripada 22 perlawanan skuad Harimau Selatan pada musim lalu dengan 10 daripadanya adalah sebagai pemain gantian.

Bekas pemain Selangor FC itu pernah beraksi bersama skuad Harimau dalam 18 perlawanan sebelum ini.

Kem latihan dan aksi persahabatan kali ini merupakan persiapan awal buat Pan-gon membentuk skuad terbaik bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar awal tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram