PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan kelab elit selatan tanah air itu pernah menghadapi hari-hari sukar ketika mengambil alih pasukan tersebut pada tahun 2013.
Menurut TMJ, ketika itu pihaknya mengalami kesukaran untuk 'memujuk' pemain menyertai pasukan JDT kerana mereka khuatir akan timbul masalah-masalah seperti tunggakan gaji dan sebagainya.
"Dahulu tiada orang nak masuk JDT kerana tiada keyakinan, pemain takut benda ni hanyalah sekadar hobi sementara. Mereka juga bimbang kelab tak bayar gaji dan ada masalah pada masa akan datang.
"Jadi susah juga, tak begitu senang untuk yakinkan pemain-pemain masuk JDT pada mulanya," kata TMJ ketika bersiaran secara langsung di Hot FM menerusi segmen Bekpes Hot kendalian bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Lembaga Pengarah JDT, Khairy Jamaluddin.
Tunku Ismail berkata, tugas merekrut pemain tempatan ke JDT dilakukan sendiri berbeza dengan pemain import yang memiliki pasukan pemantau tersendiri yang antara lain perlu menilai sikap pemain.
"Pada tahun 2013, saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia tetapi sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan mula merekrut pemain tersebut.
"Kalau pemilihan pemain tempatan, saya pilih sendiri, saya tak pernah ada scout. Tapi untuk pemain import, saya ada type of player yang saya nak.
"Scouting team JDT akan terbang ke negara tersebut untuk ikut pemain selama dua minggu. Dalam tempoh itu bukan saja nak tengok cara dia main bola, tapi sikap dia, perangai dia...boleh tak dia menimbulkan apa-apa masalah kepada pasukan dan perkara ini mustahak sangat," katanya.
JDT menjadi satu-satunya pasukan yang meraih empat kemenangan bersih dalam Liga Super setakat ini. — Facebook
Sementara itu, ketika ditanya perancangan lanjut JDT bagaimana Tunku Ismail memberi motivasi kepada pemainnya, TMJ berkata, dia mahu melihat sejauh mana kemampuan Harimau Selatan dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Kami mahu menguji sejauh mana kekuatan JDT untuk bersaing dalam ACL dan tengok sejauh mana kami boleh pergi dengan pasukan gergasi Asia.
"Ini bukan perkara yang mudah. Ya, walaupun kami sudah menang banyak trofi tetapi setiap rekod itu bermakna kerana ia pencapaian dan memberi satu motivasi," katanya.
Katanya lagi, dalam soal kemenangan, kelab tidak boleh penat kerana kemenangan itu bagaikan satu ketagihan.
"Contohnya kita tidak tewas dalam saingan liga sebanyak tiga kali dan kita buat rekod jaringan serta bolos.
"Setiap sasaran ini jadi motivasi untuk kami capai dan beri lebih lagi," katanya.
Bagi musim 2023, JDT tentunya mahu memburu kejuaraan buat kali ke-10 dan setakat ini menjadi satu-satunya pasukan yang meraih empat kemenangan bersih dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram