Sejak bila FAM bertanggungjawab atas infrastruktur kelab kita? — TMJ


  • Podium
  • Rabu, 08 Mac 2023

Stadium Sultan Ibrahim, Johor menggunakan padang jenis Zeon Zoysia. — Facebook/JDT

PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menggesa semua pihak mengambil langkah untuk menukar padang stadium negeri masing-masing kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

TMJ dalam satu hantaran di Instagram berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk menanggung kos tukar rumput.

KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia namun kos penyelenggaraan ditanggung oleh kerajaan negeri.

TMJ

Tangkap layar komen TMJ di Instagram.

“Kalau nak tunggu pemilik kelab, sampai bila-bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang RM900,000 tak boleh buat.

“Baru-baru ini saya ada beri cadangan kepada pemilik kelab. Saya cakap buat apa tunggu stadium baru siap tukar padang stadium yang pakai sekarang. Sekurang-kurangnya apabila stadium baru siap, anda mempunyai dua padang berkualiti.

“Dia jawab FAM kena bantu. Semenjak bila badan induk yang bertanggungjawab atas infrastruktur kelab kita? Tetapi inilah akibatnya apabila ada pemilik dan presiden yang tak minat bola tetapi menggunakan bola sepak demi agenda lain. Mindset,” kata TMJ di ruangan komen Instagram.

Hannah Yeoh

Tangkap layar komen Hannah Yeoh.

Kenyataan daripada TMJ turut dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mahu lihat semua stadium di Malaysia mempunyai sebuah padang berkualiti.

“Betul, ini idea TMJ untuk mencadangkan lebih banyak stadium di seluruh Malaysia mempunyai padang rumput yang berkualiti,” jelasnya.

Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekali gus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Di Malaysia ketika ini hanya dua stadium yang menggunakan rumput selain Cowgrass iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang menggunakan Zeon Zoysia dan juga Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77.

Untuk makluman, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kini dalam proses penukaran rumput kepada Zeon Zoysia yang dijangka siap pada Oktober 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram