JOHOR Darul Takzim terus berada di persada carta Liga Super apabila mengutip keseluruhan 12 mata setakat ini selepas menewaskan Kelantan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Pada perlawanan itu, JDT berjaya mencipta lima jaringan menjadikan keseluruhan jumlah kutipan gol dalam empat perlawanan sebanyak 17 gol buat masa ini.
Persembahan anak-anak buah Estaban Solari mendapat perhatian kerana mempamerkan aksi yang cukup konsisten dan cemerlang untuk membolehkan skuad Harimau Selatan berada di kedudukan terbaik.
Pengendali dari Argentina yang cukup dikenali dengan panggilan Tano itu juga membuat percaturan berani dengan menurunkan lebih banyak muka-muka pemain tempatan pada separuh masa kedua.
Antara yang dibawa masuk ialah pemain muda, Adam Farhan Mohd Faizal menggantikan Corbin Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor (Fernando Foristieri), Akhyar Rashid (Diogo Luis Santo) dan Afiq Fazail (Juan Muniz).
JDT dipuji kerana tidak gentar mempertaruhkan ubi muda seperti Adam Farhan selepas prospek dalam pembikinan Harimau Selatan itu diturunkan bertemu pasukan The Red Warriors (TRW) dalam saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga M).
Adam Farhan membuat penambilan kedua dalam skuad senior JDT ketika perlawanan menentang Kelantan FC. — Facebook
Adam Farhan pertama kali membuat debut dengan skuad senior JDT pada usia 18 tahun ketika bertemu pasukan TRW dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2022.
Tatkala JDT memulakan langkah menggunakan khidmat pemain-pemain bawah 20 tahun (B-20) baharu seperti Adam Farhan dan Daryl Sham, kelab gergasi Liga M lain diseru berbuat perkara sama.
Sebahagian besar penyokong berasakan kelab-kelab yang begitu ligat memborong prospek muda perlu bereksperimen dengan potensi mereka yang mungkin boleh memberikan dimensi berbeza kepada permainan.
Ia termasuk Kedah Darul Aman (KDA FC) yang membawa masuk kira-kira 13 graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada September tahun lalu.
Sepatutnya skuad Sang Kenari bimbingan Nafuzi Zain yang memiliki lambakan pemain-pemain muda berkualiti boleh mengetengahkan mereka di peringkat tertinggi saingan Liga Malaysia.
Begitu juga dengan Selangor FC yang dirasakan banyak memborong pemain muda AMD, seperti perkongsian laman Facebook penyokong Harimau Selatan X.
"Selama ini Selangor FC secara bundle borong pemain muda AMF tapi hanya mampu peram dan menyimpan pemain muda mereka," tulisnya.
Bagaimanapun mungkin untuk melakukannya, kelab-kelab tersebut memerlukan pemain muda yang benar-benar berkualiti supaya aksi di peringkat tertinggi saingan Liga Malaysia dapat memberikan impak kepada pasukan.
Jika tidak, kelab-kelab terbabit mungkin akan menerima nasib seperti pasukan Perak FC yang ketika ini menggunakan 10 pemain bawah 23 tahun dengan tujuh daripadanya berada dalam kesebelasan utama skuad senior.
Skuad Sang Seladang setakat ini berada di kelompok tercorot liga dengan mengumpul hanya dua mata daripada dua keputusan seri dan satu kekalahan.
Cuma apa yang boleh dirumuskan ialah pendedahan buat pemain B-23 di pentas Liga Super adalah perlu supaya mereka dapat menimba pengalaman beraksi dengan pemain senior selain belajar menangani rasa gugup.
Namun mungkin mereka wajar diberi peluang dalam separuh masa kedua seperti apa yang dibuat JDT kepada Adam Farhan supaya misi memburu kemenangan dalam setiap perlawanan, tidak juga diketepikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram