PEMENANG Piala Harapan 2023, Penang FC nampaknya terpaksa akur berada di kedudukan yang ke-10 Liga Super selepas berdepan empat perlawanan yang mana mereka masih kempunan untuk mencatatkan sebarang kemenangan.
Selangor FC berjaya membolosi gawang Harimau Kumbang dengan gol kemenangan lewat daripada Noor Al-Rawabdeh yang menafikan jaringan penyamaan daripada Rafael Vitor pada Ahad.
Rata-rata penyokong Harimau Kumbang itu tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh kelab tersebut kerana dalam pusingan Piala FA, sememangnya Penang FC berjaya menundukkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerusi gol penalti 4-3 apabila kedua-dua pasukan itu seri selepas bergelut dalam 120 minit permainan.
Selepas tamat permainan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, seorang penyokong telah memberikan pendapat dalam media sosial bahawa sekiranya Penang FC menginginkan kemenangan, mereka perlu menampilkan aksi yang menarik pada perlawanan seterusnya.
Adib masih bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama Penang musim ini. — Facebook/Penang FC
"Saya rasa ini adalah permainan terbaik yang pernah saya tengok Penang FC sepanjang bertemu Selangor FC lima tahun sebelum ini.
"Adib (Raop) perlu diberi peluang untuk bermain posisi sayap kiri, Asnan Ahmad pun bagus juga rasanya untuk diturunkan," kata Md Azrie.
Adib Raop yang merupakan anak jati Bagan Datuk, Perak pernah menyertai skuad Piala Belia Perak untuk beberapa tahun, iaitu dari 2017 hingga 2020.
Walaupun hanya bermain sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang skuad Gergasi Merah, namun dia tetap menampilkan aksi persembahan yang baik.
Ini termasuk melakukan beberapa hantaran ke dalam kotak penalti lawan di samping melakukan gelecekan yang cukup menyukarkan benteng pertahanan lawan.
Asnan menyertai skuad Harimau Kumbang pada jendela perpindahan yang lalu. — Facebook/Penang FC
Bagi Asnan, dia yang merupakan bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim 2021 hingga 2022 itu juga mempamerkan aksi persembahan yang memukau dalam posisi tengah.
Walaupun ia merupakan penampilan pertamanya dalam Liga Super, namun aksi persembahan yang ditunjukkan oleh pemain berusia 29 tahun itu ketika menentang Selangor FC adalah cukup baik.
Penang FC perlu memanfaatkan peluang dengan menurunkan dua ubi muda dalam perlawanan yang akan datang menentang Sabah FC pada 17 Mac. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram