PERLAWANAN tegang di antara Sri Pahang FC dan Sabah FC pada Ahad dihasi dengan layangan kad merah yang diterima pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-67 perlawanan.
Pengendali Sabah itu dikenakan tindakan tersebut selepas dikatakan membantah keputusan pengadil.
Bekas pengadil FIFA, Amir Sharifuddin Wong, berpendapat kad merah ke atas Datuk Ong Kim Swee tidak akan berlaku sekiranya pengadil lebih cekap mengendalikan permainan, lapor Stadium Astro.
Ketua jurulatih Sabah FC itu dibuang padang selepas sejam permainan apabila mempertikai beberapa keputusan pengadil, Noor Azriel Baharudin, ketika perlawanan berlangsung tegang dalam usaha Sabah mahupun tuan rumah, Sri Pahang, memburu gol kemenangan ketika terikat 1-1.
"Berdasarkan posisi pengadil, tiada alasan dia tidak nampak insiden itu.
"Ia kelemahan pengadil itu sendiri kerana insiden depan mata pun tidak boleh tengok.
"Kalau dia tidak nampak, mungkin pembantu pengadil termasuk pengadil keempat boleh memaklumkan kepadanya memandangkan mereka memakai alat komunikasi.
"Pengadil fokus kepada perebutan udara, tapi kejadian di bawah pun tidak jauh daripada pandangannya, pertahanan itu memang jelas menolaknya (Darren Lok).
"Kalau dia tunjukkan isyarat titik penalti, ia patut OK.
"Kalau penalti itu diberikan, tiadalah insiden dengan jurulatih tersebut," katanya menerusi program Nadi Arena pada Isnin.
Sabah kini menduduki tangga kedua liga dan berkongsi mata dengan Selangor FC selepas kedua-dua pasukan itu menang tiga perlawanan seri satu dalam empat perlawanan terakhir. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram