
HANGAT diperkatakan di dada akhbar antarabangsa mengatakan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan Manchester United, Harry Maguire.
Perkara tersebut berpunca daripada laporan yang mengatakan tawaran sebelum ini pernah dibuat ketika jendela perpindahan musim panas yang lalu, namun tidak dapat dimuktamadkan sebelum ia ditutup.
Bek tengah itu dilihat bukanlah sebagai pilihan utama bagi pengurus skuad The Red Devils, Erik Ten Hag yang lebih gemar untuk menurunkan gandingan Lisandro Martinez dan Raphael Varane.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pemain antarabangsa England itu hanya diturunkan sebanyak 10 kali dengan separuh daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.
Selain itu, laporan media rasmi turut mendapati Maguire masih terikat dengan Manchester United sehingga Jun 2025 selepas menyertai mereka pada 2019.
Dia pernah menjadi antara tonggak utama kelab dengan diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten meskipun kerap dikritik berikutan persembahannya yang tidak konsisten.
Bagi PSG pula, penyingkiran mereka dari pentas Liga Juara-juara UEFA (UCL) membuktikan pelbagai perkara perlu ditambah baik sekiranya mahu menjulang trofi berprestij itu.
Ketika ini, gergasi Eropah berkenaan hanya memiliki Marquinhos dan Sergio Ramos sebagai pemain pertahanan tengah senior sementara Presnel Kimpembe terpaksa disisihkan berikutan masalah kecederaan.
Jadi, tidak hairanlah apabila pengurus kelab, Christophe Gamel dikhabarkan bakal melakukan tawaran kepada Maguire pada Jun akan datang dengan nilai tawaran dikhabarkan mencecah £50 juta (RM271 juta). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram