PEMAIN pertahanan Manchester City, Kyle Walker kini disiasat polis Cheshire selepas rakaman kamera keselamatan (CCTV) menunjukkan bintang bola sepak England itu mempamerkan kelakuan tidak senonoh di bar.
Menurut laporan The Sun, pemain berusia 32 tahun itu sedang minum bersama rakan-rakan di sebuah bar di Manchester pada Ahad selepas kemenangan 2-0 City ke atas Newcastle dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebuah video di laman web The Sun menyiarkan rakaman kamera keselamatan atas talian yang menunjukkan Walker dua kali melondehkan seluarnya di sebuah bar dan kemudiannya terlibat dalam perbualan bersama pelanggan di situ.
Di bawah Akta Kesalahan Seksual 2003, seseorang yang melakukan kelakukan tidak senonoh dengan sengaja mendedahkan kemaluan mereka dan berniat bahawa seseorang akan melihatnya akan membawa kepada hukuman sekurang-kurangnya dua tahun penjara.
Polis Cheshire dalam satu kenyataan berkata, pasukan itu dimaklumkan mengenai video yang tersebar di media sosial berhubung kelakukan tidak senonoh yang didakwa berlaku di kawasan Wilmslow.
Siasatan berhubung kejadian itu masih di peringkat awal dan tiada tangkapan dilakukan buat masa ini.
Walker bermain dalam kemenangan 2-0 City ke atas Newcastle pada Sabtu sebelum pasukan itu diberi cuti dua hari berikutnya oleh pengurus City, Pep Guardiola.
City enggan mengulas tetapi difahamkan bahawa kelab melihat kehidupan Walker sebagai perkara peribadi.
Malah, wakil Walker juga enggan mengulas mengenai insiden berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram