Bintang Sabah, TRW, TFC antara 5 import termurah dalam Liga Super musim ini


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Jordi Amat merupakan pemain termahal Liga Super musim ini. — Facebook/JDT

SEJAK bermulanya perubahan peraturan pengambilan pemain import pada 2012, pasukan-pasukan yang bersaing di dalam Liga Malaysia (Liga M) telah menandatangani beberapa pemain import yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Pada musim lalu, nilai pasaran pemain termahal setiap pasukan Liga Super digabungkan, ia mencecah hampir RM22 juta berdasarkan nilai yang dikeluarkan laman sesawang terkemuka, transfermarkt.co.uk.

Nilai lebih RM16 juta itu diperoleh daripada lima pemain yang dilihat memiliki nilai pasaran tertinggi dalam pasukan masing-masing yang menyaksikan pemain import mendominasi 'carta'.

Pada musim ini, takhta pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) masih mengekalkan pemain susulan kemasukan pertahanan baharu Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat musim ini apabila dianggarkan bernilai RM4.8 juta, sekali gus mengambil alih nilai tertinggi milik penyerang Harimau Selatan, Fernando Forestieri musim lalu.

Namun kali ini Majoriti akan menyenaraikan lima pemain import termurah dalam Liga Super 2023 musim ini:

Ryu Yamaguchi. Facebook

1. Ryu Yamaguchi (Penang FC)

Nilai pasaran semasa: RM 47 ribu

Pemain berdarah kacukan Malaysia, Ryu Yamaguchi beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila Penang FC diumumkan sebagai pemain ‘import’ baharu.

Yamaguchi sebenarnya mempunyai darah Malaysia walaupun dilahirkan di Jepun dan pemain yang berusia 22 tahun ini mempunyai ketinggian 186 cm dan beraksi di posisi pertahanan.

Malah, dia juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol sejak 2021.

Kerjayanya bermula pada 2013 apabila bersama Stoke City Football di Shanghai, China. Ryu juga pernah bersama akademi Penang Wanderes pada 2015-16 sebelum berkelana ke England dan Sepanyol untuk bersama Brooke House College Football Academy Harborough, England dan CD Almunecar City di Granada, Sepanyol.

Kang Eui-chan. Facebook

2. Kang Eui-chan (TRW Kelantan FC)

Nilai pasaran semasa: RM 239 ribu

Pemain kelahiran Korea Selatan, Kang Eui-chan baru menyertai pasukan Kelantan pada musim ini.

Perpindahan Eui-chan disebabkan dia berjaya menambat hati pengendali Kelantan, Choi Moon-sik semasa tempoh percubaan.

Semasa dalam tempoh percubaan, keputusan untuk menurunkan pemain itu bagai membuahkan hasil apabila rata-rata penyokong tertarik dengan persembahan mereka.

Argzim Redzovic. Facebook/TFC

3. Argzim Redzovic (Terengganu FC)

Nilai pasaran semasa: RM 359 ribu

Pemain pertahanan tengah Terengganu FC ini dilihat antara prospek utama skuad HM ketika ini dengan pengalaman serta tempoh syarat lima tahun bermain di liga tempatan telah dipenuhi pemain tersebut.

Untuk rekod, Argzim sudah cukup tempoh selama lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menjadi pemain naturalisasi bermula dengan menyarung jersi pasukan PDRM pada tahun 2018 dan 2019 sebelum berhijrah ke pasukan TFC II sehingga musim lalu.

Ditambah pula dengan perkahwinannya bersama gadis tempatan, ia sekali gus menguatkan lagi keinginan serta harapan peminat untuk menyaksikan pemain berketinggian 1.90 meter itu beraksi bersama skuad negara.

Berdasarkan beberapa laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh difahamkan sudah membuat permohonan berhubung kerakyatan pemain itu dan kini sedang menunggu 'lampu hijau' daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Sunday Afolabi. Facebook

4. Sunday Afolabi (Perak FC)

Nilai pasaran semasa: RM 359 ribu

Jodoh pemain import dari Nigeria, Sunday Kolawole Afolabi bersama Perak FC masih kuat apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menyambung kontrak selama dua tahun lagi.

Persetujuan itu dibuat setelah pihak Perak FC mengakui berpuas hati dengan persembahan dan komitmen tinggi yang dipamerkan Afolabi terhadap pasukan itu.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin yang turut kagum dengan usaha pemain berusia 24 tahun itu untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

Sebagai rekod, Afolabi menyertai Perak FC pada Jun 2022 dan pernah bermain di beberapa kelab di Portugal, Slovakia dan Republik Czech.

Telmo Castanheira. Facebook

5. Telmo Castanheira (Sabah FC)

Nilai pasaran semasa: RM 478 ribu

Pemain berketinggian 1.85 meter, pemain kaki kiri itu mempunyai kekuatan tersendiri apabila berkebolehan menjaringkan gol dari jarak jauh.

Beraksi di liga Iceland bersama pasukan IBV Vestmannaeyjar, Telmo telah membuat sebanyak 21 penampilan dan berjaya menjaringkan dua gol setakat ini.

Kemasukan pemain itu telah memberikan impak besar pada persembahan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam tiga perlawanan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram