Azam jeneral tengah, Pahang kini semakin kuat — Saddil


  • Podium
  • Ahad, 12 Mac 2023

Saddil sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan Liga Super musim ini. — Facebook/Sabah FC

TONGGAK import Sabah FC, Saddil Ramdani menyifatkan Nor Azam Azih antara nadi kekuatan Sri Pahang FC yang perlu diawasi dalam aksi Liga Super pada Ahad.

Baginya, skuad kendalian Fandi Ahmad musim ini dilihat semakin agresif apabila mereka juga masih belum tewas setakat ini, sekali gus ia akan menjadi pertembungan yang sengit di Stadium Darul Makmur, Pahang.

Tambah Saddil, dia mengakui Azam sentiasa menjadi tonggak penting yang memperkuatkan posisi tengah pasukan menyaksikan Sabah perlu lebih berwaspada sepanjang 90 minit permainan untuk mencari peluang memburu jaringan.

“Ini sesuatu yang luar biasa juga untuk saya lawan Pahang sebab saya pernah bermain bersama mereka pada musim 2019 dan kali ini, saya rasa mereka semakin kuat dan aggresif.

“Saya rasa secara keseluruhan mereka mempunyai pemain yang bagus dan penyerang import berkualiti apatah lagi turut dapat sokongan dari Azam sebagai jeneral tengah pasukan," katanya.

WhatsApp-Image-2019-11-18-at-10.00.00-e1574049845577-768x430

Saddil pernah beraksi bersama skuad Tok Gajah untuk semusim. Instagram/Saddil Ramdani

Jelas pemain kebangsaan Indonesia itu, dia tidak mahu perkara tersebut memberi tekanan kepadanya dan rakan sepasukan dengan meletakkan kepercayaan bahawa tiga mata boleh dikumpul skuad Sang Badak dalam pertembungan berkenaan.

“Saya kenal dia serta pemain lain dan mereka memang bagus tetapi di sini saya ingin tegaskan kami juga percaya dengan kemampuan kami sendiri di Sabah.

“Bukan saya seorang, tetapi kita ada ramai juga pemain yang pernah bersama skuad kebangsaan dan saya rasa kita akan dapat memberikan terbaik pada Ahad," jelasnya.

Dalam masa sama, Saddil yang kini sudah meledak tiga gol tidak meletakkan sasaran tinggi untuk sentiasa melakukan jaringan peribadi, sebaliknya mahu memastikan dia mampu membantu pasukan sebaik mungkin bagi mendapatkan kemenangan.

“Secara peribadi saya tidak meletakkan sasaran untuk mencipta gol dan itu adalah rezeki untuk saya dan pasukan.

“Yang lebih penting adalah bagaimana untuk menjadikan pasukan ini terus kuat dan berjuang bersama-sama untuk melakukan apa yang diinginkan jurulatih.

“Jadi saya tidak ada sasaran peribadi secara individu tetapi hanya ada sasaran kepada pasukan sahaja untuk menyaksikan Sabah sekurang-kurangnya dapat menjulang trofi," tambahnya.

Selepas tiga perlawanan, Sabah berada di kedudukan kedua Liga Super dengan jumlah jaringan membezakan mereka dengan pendahulu, Johor Darul Takzim. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram