Padang macam 'sawah' tak halang The Rhinos bawa pulang 3 mata penuh


  • Podium
  • Isnin, 06 Mac 2023

Rata-rata penyokong Sabah FC mempersoalkan kualiti padang yang disifatkan sangat teruk. — Facebook/MalaysianFootballLeague

SABAH FC berjaya meneruskan rentak positif apabila mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC (KUFC) 2-1 dalam aksi Liga Super pada Isnin.

Gol jaringan pemain tengah skuad The Rhinos, Telmo Castanheira pada separuh masa kedua membolehkan pasukan Sabah FC memastikan rekod bersih dengan memungut sembilan mata penuh selepas tiga perlawanan setakat ini.

Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, Sarawak itu, pemain sayap skuad Sang Badak, Saddil Ramdani, membuka tirai jaringan pada minit ke 24 sebelum KUFC menyamakan kedudukan melalui Abu Kamara ketika masa tambahan separuh masa pertama.

Keadaan padang yang agak lecak dilihat menyukarkan kedua-dua pasukan memberikan cabaran kepada kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik.

Namun begitu, persaingan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang 90 minit perlawanan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penyokong Sabah FC mempersoalkan kualiti padang digunakan pada perlawanan tersebut yang disifatkan sangat teruk.

SABAH1

Keadaan padang memberikan cabaran untuk kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik. — Facebook/MalaysianFootballLeague

Malah ada antaranya berpandangan situasi itu menyebabkan skuad The Rhinos tidak dapat menampilkan permainan lebih baik bagi mencatatkan kemenangan selesa.

"Radu tetap radu, walaupun lumpur, macam tempat tanam padi. Kalau tidak hujan, pasti banyak gol lagi itu. Tahniah Sabah FC bawa pulang tiga mata," kata Jauny Leowenezra Jauny.

"Ini main bola ka main lumpur? Teruk juga padang diorang," kata Khai Khai.

"Macam bubur padang. Cantik lagi padang sekolah," tulis Emi Fabregas.

Pada masa sama, ada juga penyokong yang melahirkan kerisauan terhadap potensi pemain untuk mengalami kecederaan sekiranya terus bermain di padang dengan kualiti sedemikian.

"Harap tidak banyak yang cedera. Padang lumpur boleh buat pemain cedera. Hentam main bola tinggi," kata Harith Adam.

"Lecak, permainan jadi kasar dan bahaya kepada pemain," ujar Bintang Kejora. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram