Usah berhenti berharap, 4 elemen utama The Rhinos berpotensi tamat kemarau 28 tahun tanpa piala


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Dengan JDT dijangka bakal meneruskan penguasaannya terhadap Liga Super 2023, antara kejohanan lain dilihat berpotensi menjadi milik The Rhinos adalah Piala FA.

SABAH FC memulakan saingan musim ini dengan penuh bergaya selepas berjaya memperoleh sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan pertama Liga Super 2023.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Rhinos kini berada di kedudukan kedua di belakang Johor Darul Takzim (JDT) dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan gol.

Prestasi positif ditunjukkan skuad Sang Badak itu tenutnya menggembirakan penyokong yang pastinya teruja dengan kejutan bakal disajikan pasukan kegemaran mereka itu.

Antara ditunggu-tunggu pastinya adalah keupayaan pasukan Sabah FC untuk membawa pulang sebarang piala pada musim ini bagi dihadiahkan kepada penyokong yang sudah tidak merasainya sejak 28 tahun lalu.

Kali terakhir skuad The Rhinos menjulang kejuaraan adalah pada tahun 1995 ketika aksi Piala FA yang menyaksikan pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu menewaskan Pahang dalam perlawanan akhir dengan jaringan 3-1.

Melihat kepada skuad dimiliki pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, adalah tidak mustahil untuk pasukan ini untuk membuat kejutan dengan membawa pulang mana-mana piala yang dipertandingkan pada musim ini.

Dengan JDT dijangka bakal meneruskan penguasaannya terhadap Liga Super 2023, antara kejohanan lain dilihat berpotensi menjadi milik The Rhinos adalah Piala FA.

Berikut Majoriti gariskan empat sebab mengapa Sabah FC dilihat memiliki peluang cerah untuk menamatkan penantian 28 tahun mereka:

1) Dilihat mempunyai laluan mudah

Sabah 5

Hanya dua pasukan pesaing utama yang berpotensi mengecewakan skuad Sang Badak dalam perjalannya ke perlawanan akhir Piala FA iaitu Terengganu FC dan KL City FC. — Facebook/Sabah Football Club

Undian Piala FA yang dilangsungkan pada Februari lalu menyaksikan Sabah FC akan memulakan kejohanan dengan aksi di pusingan 16 terakhir bertemu Kelantan United FC.

The Rhinos berkemungkinan tidak mempunyai masalah untuk melepasi halangan pertama sekiranya pasukan dapat meneruskan momentum awal yang ditunjukkan pada musim ini.

Sementara itu, undian kali ini juga memperlihatkan hanya terdapat dua pasukan pesaing utama berpotensi untuk mengecewakan skuad Sang Badak dalam perjalannya ke perlawanan akhir iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC di peringkat suku akhir sekiranya kedua-dua pasukan layak dan Terengganu FC di separuh akhir..

Dengan melihat kepada prestasi tidak konsisten kedua-dua pasukan terbabit, Sabah FC boleh dikatakan sebagai pasukan pilihan yang dijangka mampu mara ke perlawanan final Piala FA.

2) Barisan pemain berpengalaman

Sabah  4

Pengalaman yang ada pada pemain seperti Amri tentunya ditagih dalam membantu skuad The Rhinos menjulang kejuaraan. — Facebook/Sabah Football Club

Skuad Sabah pada musim ini dilihat memiliki keseimbangan yang sangat baik dari segi pengalaman dan keupayaan untuk bersaing secara kompetitif.

Dengan mengekalkan sebahagian skuadnya yang berjaya menduduki tempat ketiga dalam Liga Super 2023, pembelian beberapa pemain import dan tempatan dibuat oleh The Rhinos dilihat memperkukuhkan lagi asas pasukan.

Untuk memenangi sesebuah kejohanan, elemen pengalaman adalah sangat penting dalam membawa sesebuah pasukan itu dalam perjalanannnya menjuarai pertandingan tersebut.

Dalam hal ini, skuad Sabah FC dilihat sememangnya terdiri daripada ramai pemain tempatan yang pernah mempunyai pengalaman dalam menjuarai beberapa piala utama di peringkat domestik bersama pasukan lain sebelum ini.

Antaranya adalah pemain menyerang, Mohd Amri Yahyah yang pernah memenangi deretan piala termasuk Piala FA dan Piala Malaysia ketika bersama Selangor serta JDT.

Pemain tengaah berpengalaman The Rhinos, Baddrol Bakhtiar juga mempunyai rekod kejuaraan Piala Malaysia dan Piala FA ketika beraksi bersama pasukan Kedah.

Malah penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat juga pernah menjuarai piala tersebut ketika bersama Kelantan FA, di samping memenangi beberapa kejohanan utama bersama skuad kebangsaan.

3) Keupayaan memastikan jaringan gol

Sabah

Versatiliti dimiliki Sabah FC dalam keupayaannya untuk menjaringkan gol mampu memberikan kejutan kepada pihak lawan. — Facebook/Sabah Football Club

Kejayaan menjaringkan sembilan gol dalam tiga perlawanan pertama menunjukkan bahawa skuad Sang Badak tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

Lebih menarik lagi, jaringan yang diperolehi tidak bergantung kepada barisan penyerang tetapi sebaliknya daripada pemain di posisi lain seperti bahagian tengah dan pertahanan seperti Saddil Ramdani, Telmo Castanheira serta Park Tae-su.

Versatiliti dimiliki Sabah FC ini merupakan senjata utama sangat berguna untuk memberikan kejutan kepada pihak lawan dalam usahanya mara lebih jauh dalam kejohanan tersebut.

Pada masa sama, pasukan Sabah FC pastinya akan lebih digeruni apabila Kim Swee dapat menemui kunci bagi mengaktifkan sumbangan gol daripada barisan serangannya yang setakat ini dilihat belum sepenuhnya memenuhi potensi diharapkan.

4) Sentuhan aura juara Kim Swee

sabah 2

Kim Swee merupakan sebahagian daripada pemain skuad Sabah yang memenangi Piala FA pada 1995 — Facebook/Sabah Football Club

Sebagai bekas pengendali skuad kebangsaan, pemilihan Kim Swee untuk menerajui pembaharuan bola sepak Negeri Di Bawah Bayu itu pada musim lalu adalah sesuatu yang tepat dengan mengambil kira reputasi dimilikinya.

Namun lebih daripada itu, pengendali kelahiran Melaka yang kini berusia 52 tahun itu juga merupakan sebahagian daripada pemain membarisi skuad terakhir Sabah yang menjuarai Piala FA pada tahun 1995.

Dengan fakta sejarah tersebut, beliau pastinya mempunyai aura yang diperlukan untuk membantu skuad The Rhinos menamatkan kemarau piala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram