MESKIPUN mempamerkan permulaan kempen baharu dengan positif, realitinya wujud kegusaran di kem Sri Pahang yang terlalu bergantung kepada penyerang import, Kpah Sherman sepanjang tiga perlawanan awal.
Menjelang satu lagi ujian sukar bertemu Sabah FC pada Ahad, ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad menyematkan aura Stadium Darul Makmur, Pahang sebagai azimat seperjuangan anak buahnya.
"Kami akan bermati-matian apabila bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan mata penuh, tetapi (cabaran) kali ini lebih berat apabila akan berdepan Sabah.
"Mereka belum kalah setakat ini dan banyak menang di tempat lawan. Mereka juga mempunyai pemain seperti Darren Lok, Saddil Ramdani dan tonggak import baru," katanya.
Setakat ini, kedua-dua pasukan masih belum tewas, namun Sabah FC berada dalam posisi lebih baik apabila sudah mengumpul sembilan mata berbanding Sri Pahang dengan lima mata.
Kpah (kanan) menjadi taruhan baharu skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
"Formasi mereka sangat mantap tapi kami lebih perlu merisaukan diri sendiri untuk mencetak gol. Kami ada banyak peluang tapi kekurangan penjaring.
"Mudah-mudahan kali ini Kpah, Nor Azam Azih dan Baqiuddin Shamsudin dapat buka peluang lagi untuk cetak gol," tambah Fandi.
Skuad Tok Gajah kini mengumpul lapan gol daripada tiga aksi Liga Super yang menyaksikan pertahanan kelahiran Argentina, Stefano Brundo menjadi penjaring terbanyak dengan dua jaringan peribadi.
Bagi Kpah pula, satu gol ketika Sri Pahang menundukkan Kelantan FC merupakan gol sulungnya untuk musim 2023 selepas menyertai pasukan tersebut ketika jendela perpindahan lalu dari Terengganu FC.
Sebelum ini, pasukan Pantai Timur itu menerima berita buruk apabila seorang lagi penyerang import, Lucas Silva terpaksa disisihkan untuk satu tempoh yang panjang selepas disahkan ditimpa kecederaan lutut. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram