PENGENDALI Kelantan FC, Choi Moon-sik mengesahkan bahawa pertahanan import, Carli De Murga tidak dapat diturunkan berdepan Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu.
De Murga merupakan antara aset utama buat skuad The Red Warriors (TRW) musim ini apabila memainkan peranan yang cukup penting ketika membantu Kelantan FC mencatat kemenangan ke atas Penang FC baru-baru ini.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan perkara itu menerusi satu ciapan di Twitter pada Jumaat.
"Kelantan kehilangan dua pemain pertahanan bertemu JDT petang esok (Sabtu), Carli de Murga cedera, Christian Rontini digantung perlawanan," ciapnya di Twitter.
Manakala, penjelasan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, turut memberitahu perkara sama apabila De Murga difahamkan mengalami kecederaan sekali gus menyaksikan khidmat pemain tersebut tidak dapat digunakan.
“Carli De Murga mengalami kecederaan tetapi kita mempunyai pemain-pemain lain sebagai pengganti.”
Ia sudah tentu memberi kesan kepada percaturan pasukan namun Kelantan masih memiliki dua orang lagi pemain pertahanan import Korea Selatan bagi mengisi slot tersebut.
JDT kini dalam momentum terbaik selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 7-0 sementara Kelantan turut hadir dengan semangat juang yang sangat tinggi.
Setakat tiga perlawanan Liga Super yang dihadapi, Kelantan berjaya mencatat satu kemenangan ketika berdepan Penang dan mengalami dua kekalahan ketika menghadapi Kuching City dan Sri Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram