'Haters' dilabel busuk hati, sekali lagi jadi punca nama JDT mendonia


  • Podium
  • Ahad, 12 Mac 2023

JDT merupakan salah sebuah pasukan terbaik di dalam mahupun luar padang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) pasti sukar untuk dipersoalkan apabila mereka dilihat terlalu mudah menepis segala cabaran yang dihadapi.

Pada 2022 sahaja, pasukan Selatan tanah air itu mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai kelab tempatan pertama mengungguli empat kejuaraan semusim.

Prestasi menakjubkan itu diteruskan pada musim ini selepas mereka mudah membawa pulang trofi Piala Sumbangsih di samping menduduki tangga teratas Liga Super selepas empat perlawanan.

Jadi, tidak hairanlah apabila ramai pihak mula bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa JDT merupakan salah satu pasukan terbaik dalam sejarah liga tanah air.

Lebih membanggakan lagi, pencapaian menakjubkan skuad Harimau Selatan tidak terhenti di situ apabila pihak pengurusan kelab sentiasa memastikan reputasi mereka terus mekar di peringkat global.

Bagaimanapun, baru-baru ini, harapan murni itu sepertinya terkubur apabila sebuah portal sukan antarabangsa, Footy Headline secara tidak sengaja menconteng arang ke muka mereka.

WhatsApp Image 2023-03-12 at 16.47.54

Hasil undian mendapati jersi JDT merupakan antara yang terburuk untuk musim 2023. Twitter/Footy Headline

Dalam satu undian dalam talian yang dibuat, portal berkenaan mengumumkan bahawa jersi baharu JDT merupakan antara yang terburuk dengan pandangan tersebut menerima 39.8 peratus undi.

Reka bentuk yang dikeluarkan Nike itu sebelum ini pernah menarik perhatian apabila dikatakan hanya menggunakan templat daripada jersi kelab-kelab lain.

Perkara berkenaan pastinya mengundang perhatian penyokong Harimau Selatan yang seakan-akan menunding jari terhadap mereka yang kurang senang dengan pencapaian pasukan ke atas perkara itu.

"Rata-rata haters dalam negara yang mengundi kerana mereka hanya akan menggunakan perkara itu sebagai bahan, itulah dinamakan busuk hati," kata Fariss Nik.

"Biasalah, yang terbaik pasti akan sering mengundang kecaman daripada mereka yang membenci JDT. Sah-sah lah itu semua haters, lantak la," kata Ahmad Sharif.

"Itu semua undian daripada haters yang hanya mengikut perasaan masing-masing, padahal jersi JDT cantik sahaja bukan?" soal Mujahid Ayid.

Dalam undian yang sama, jersi kelab Belanda, RKC Waalwijk keluaran Stanno berada di kedudukan kedua sementara tangga ketiga milik gergasi Switzerland, FC Basel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram