LAPTOP Cabuk menemui pembaca buat kali ketiga. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
STEINBRUCKE adalah satu jenama pisau keluaran Jerman yang terkenal di seluruh dunia kerana kualiti dan ketahanannya. Daripada pisau dapur, pisau kocek, pisau cef hinggalah kepada pisau taktikal kegunaan angkatan tentera, mereka ada semuanya.
Jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner, turut berharap pasukannya memiliki ketajaman yang sama dalam memuncakkan cabaran dalam Liga Malaysia musim 2023, didorong oleh kemenangan pertama skuad Peteh itu pada Sabtu.
“Kami tidak sama, Steinbrucke dari Jerman sedangkan saya dari Croatia. Tapi datuk saya dari sana (Jerman), seorang pegawai tentera dalam Perang Dunia Kedua. Maknanya saya juga berdarah campuran Jerman,” ujarnya.
Ceria dengan kemenangan sulung 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu Steinbruckner atau ringkasnya dipanggil Tommy mengakui bangun tidurnya pagi ini (Ahad) dirasakan berbeza sambil tidur malamnya lebih lena.
Sony Norde ketika beraksi bersama Terengganu. — Facebook/TFC
“Pagi ini rasanya lebih baik daripada sepanjang beberapa minggu lalu. Kami mendapat tiga mata pertama dan tidak lagi mengisi tangga terbawah dalam liga (kini melonjak ke tangga keenam dengan mengumpul empat mata).
“Kami berhak kepada tiga mata itu tanpa mengira PDRM direncatkan oleh kad merah terhadap penjaga golnya. Anda harus tahu ia tidak selalunya mudah bermain menentang 10 pemain.
“Kesudahannya, kami terpaksa berhempas-pulas untuk kemenangan pertama ini selepas empat perlawanan. Sesiapa saja boleh lihat ia tidak mudah bagi kami,” tambahnya.
Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang tuan rumah, Jordan Mintah, sejurus sebelum rehat. Namun, Terengganu dikerah menanti sehingga minit ke-76 untuk jaringannya apabila Sardor Kulmatov menguis masuk daripada satu sepakan sudut.
Menelusuri perjalanan Terengganu sejauh ini, Tommy telah mengotakan janjinya untuk melakukan perubahan daripada satu perlawanan ke perlawanan berikutnya.
Tewas 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan sumbangsih pembukaan musim 24 Februari lalu, dia menampilkan Liridon Krasniqi selain pemain import baharu, Omid Naziri, dalam perlawanan kedua dengan Kedah di Alor Setar pada 1 Mac.
Pisau Steinbrucke adalah satu jenama pisau keluaran Jerman yang terkenal di seluruh dunia kerana kualiti dan ketahanannya.
Malang buat mereka kerana pemain tuan rumah, Fadzrul Danel Nizam, memanfaatkan peluang terhidang akibat kesilapan berpunca daripada pemain import Terengganu, Domagoj Pusic, pada minit ke-90 untuk kemenangan 1-0.
“Kami menentang dua pasukan terbaik liga (JDT dan Kedah) di peringkat awal dan apa yang berlaku bukanlah menjelaskan situasi sebenar pasukan yang kami ada,” jelasnya ketika itu.
Keputusan seri 0-0 dengan Kuala Lumpur di Kuala Terengganu pada 5 Mac lalu benar-benar mengecewakan hingga mendorong Tommy enggan berlengah lagi melakukan rombakan kesebelasannya gara-gara pembaziran terhadap deretan peluang dimiliki.
Dan malam tadi (Sabtu), tiada lagi kelibat Iwan Mamut di barisan serangan dengan digantikan oleh Mintah di sebalik Adisak Kraisorn dikekalkan. Di samping mereka, pemain tengah berusia 21 tahun dari Bahrain, Habib Haroon, ditampilkan buat julung-julung kalinya selepas pulih daripada kecederaan.
“Anda boleh lihat kami mencipta lebih daripada 10 peluang malam tadi (Sabtu). Tapi kami masih bermasalah di bahagian penyudahan.
“Saya fikir kami patut menang sekurang-kurangnya 2-0 atau 3-0 tapi akhirnya kami terpaksa berpuas hati menang hanya 1-0. Saya harap barisan serangan kami akan mendapat lebih tuah dalam perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Jordan Mintah (kanan) menunjukkan ketajaman skil di padang. — Facebook/TFC
Diingatkan bahawa jaringan malam tadi adalah daripada Kulmatov, seorang pemain pertahanan, Steinbruckner enggan banyak beralasan.
“Sebarang gol kami alu-alukan, tidak kiralah daripada pemain mana sekalipun. Seperti yang dikatakan tadi, saya tidak berpuas hati dengan penyudahan kami.
“Tapi saya gembira untuk Sardor. Dia telah bermain cemerlang dari mula, termasuk dinamakan pemain terbaik dalam perlawanan sebelum ini. Gol ini adalah hadiah di atas kerajinan dan penat- lelahnya.”
Mengenai Adisak, jurulatih berusia 57 tahun itu berkata dia masih memberikan peluang kepada penyerang antarabangsa Thailand itu.
“Adisak adalah nama besar di rantau ini. Dia memenangi kejuaraan bersama Thailand (dalam Piala AFF 2022 mengalahkan Vietnam dalam final). Saya perlu bersabar sedikit dengannya.
“Malam tadi, dia menunjukkan kadar kerja yang tinggi. Ia mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk menyaksikan dia kerap mencatat nama dalam senarai penjaring,” tambahnya.
Tommy, yang tidak asing dengan persekitaran di Terengganu setelah lebih dahulu bersama T-Team pada musim 2015, menghargai sokongan peminat di sebalik mereka juga mudah terpengaruh dengan keputusan semasa.
“Selepas perlawanan malam tadi, lebih ramai yang mengajak saya berswafoto,” ujarnya.
“Tapi saya tidak salahkan peminat. Selepas TFC muncul naib juara musim lalu, mereka mengharapkan musim ini akan lebih baik. Cuma saya harapkan mereka lebih bersabar.
Ditanya sama ada dia sedar pasukan THT menjuarai Liga Hoki Malaysia (LHM) buat kali kelima di Kuala Terengganu petang semalam, Tommy menyatakan: “Ya, ada seseorang memberitahu saya. Tahniah di atas kejayaan mereka.
“Cuma, bola sepak tidak sama. Peminat perlu faham separuh daripada pasukan musim ini adalah muka baharu, jadi kesabaran amat perlu.
“Tapi saya harap pasukan kami akan lebih tajam, setajam pisau yang anda cakapkan awal tadi,” katanya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram