'Long time no see', lepas benam Kedah, bekas import tak sabar ranapkan Sang Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Bruno berjaya mencetak gol kemenangan PDRM dalam aksi menarik ketika berdepan KDA FC sebelum ini. — Facebook/PDRM

SKUAD Terengganu FC (TFC) bakal berdepan dengan pasukan PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu.

Pasukan Hitam Putih kendalian Tomislav Steinbruckner berada pada kedudukan yang paling corot dalam carta Liga Super selepas sekadar seri 0-0 dengan Kuala Lumpur FC selain tewas kepada 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Johor Darul Takzim (0-2).

WhatsApp Image 2023-03-10 at 02.37.58

Tangkap layar Insta Story Bruno.

Dalam perlawanan minggu keempat Liga Super, TFC membawa misi untuk memenangi perlawanan menentang skuad Sang Saka Biru di depan penyokong sendiri, bagi meraih tiga mata berharga.

Pada masa sama, PDRM FC juga mahu terus memburu tiga mata selepas memperoleh kemenangan tidak diduga apabila berjaya menundukkan KDA FC 1-0 ketika beraksi di gelanggang lawan.

Sehubungan dengan itu, skuad The Cops sudah pasti ingin membawa pulang tiga mata ketika berdepan dengan Sang Penyu dengan memanfaatkan peledak berbisa, Bruno Suzuki untuk menjaringkan gol buat skuad Sang Saka Biru.

Sebelum ini, pemain kacukan Brazil-Jepun itu mengejutkan pasukan Sang Kenari dengan gol kemenangan yang dicetak pada minit ke-74. Bruno dikatakan penyelamat bagi skuad The Cops kerana berjaya menundukkan pasukan itu dengan jaringan tunggalnya pada saat-saat akhir selepas bergelut dalam perlawanan selama 80 minit.

Untuk memburu kemenangan seterusnya semasa menentang Sang Penyu, Bruno tentunya akan lebih garang dalam mencari gol buat Sang Saka Biru untuk meletakkan pasukan itu di kedudukan lebih baik.

Penyerang Sang Saka Biru itu pernah bermain untuk Terengganu FC II sebelum naik pangkat ke skuad utama dalam tempoh berkhidmat bagi musim 2018 hingga 2020.

Untuk rekod, penyerang berketinggian 1.75 meter itu juga pernah menabur bakti bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 2016.

Menjelang perlawanan getir menentang TFC, Bruno melalui posting di Insta Story miliknya pada Jumaat, seolah-olah memberi bayangan kepada bekas majikannya untuk bersedia menerima kunjungan daripada Sang Saka Biru.

Pemain berusia 32 tahun itu membuat hantaran berkenaan dengan menulis kapsyen, "Long time no see (lama tak berjumpa)."

Laungan cabaran itu tentunya memberi gambaran bahawa PDRM FC bakal memberikan saingan sengit kepada TFC yang ketika ini bergelut dengan masalah ketumpulan penyudah.

Tomislav sebelum ini mengakui bahawa skuad Penyu masih di bahagian serangan yang mengakibatkan pasukan itu gagal meledak sebarang gol dalam perlawanan berdepan Sabah FC dan hanya sekadar berkongsi mata dengan Perak FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram