NAMPAK tenang namun jiwa bergejolak, stres atau tekanan biasa terjadi di saat individu merasakan kemahuan telah melebihi dan mengatasi kemampuan diri.
Stres atau tekanan adalah tindak balas emosi, fizikal dan mental akibat perubahan dalam sesuatu keadaan yang berlaku dalam kehidupan manusia. Stres merangkumi beban, tekanan, kebimbangan, keletihan, konflik, panik, kemurungan dan tidak bermaya.
Namun begitu, tekanan juga boleh menjadi rangsangan atau motivasi bagi menempuh situasi sukar di dalam kehidupan. Mungkin ia kedengaran sedikit tidak logik, tetapi perkara itu terbukti kerana seseorang yang tertekan dan terlalu emosi dengan kehidupannya akan menyebabkan dia berusaha untuk sentiasa meningkatkan atau mengubah hidupnya.
Fenomena sindrom itik atau duck syndrome merupakan satu idea yang mana individu nampak tenang dari luaran namun tiada siapa tahu wujud gejolak dalaman mereka.
Sindrom itik sememangnya sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat yang mana individu lebih cenderung untuk menyembunyikan perasaan mereka agar orang lain melihat keindahan dan kebahagiaan sahaja.
Disebabkan sindrom itu, semakin ramai orang terutamanya pekerja atau pelajar mula rasa tertekan sama ada mereka sedar atau tidak, terutamanya untuk orang yang lebih tua, ia boleh menyebabkan kemurungan.
Berikut merupakan simptom stres yang mungkin orang ramai tidak menyedarinya.
Kelesuan merupakan antara simptom awal seseorang menghidapi sindrom itik. — Agensi
1. Lemah tubuh badan
Tanda-tanda stres yang paling utama ialah anda kerap rasa penat dan lemah sehingga hilang upaya untuk melakukan sebarang tugasan harian. Perkara itu boleh mengakibatkan berat badan naik kerana tubuh badan tidak aktif.
2. Sukar untuk tidur
Menghadapi masalah untuk tidur walaupun berasa letih secara fizikal adalah petanda bahawa anda sedang mengalami tekanan. Apabila seseorang itu berada di bawah tekanan, dia akan menyalahkan diri sendiri dan persekitaran.
3. Kurang selera makan
Meskipun dihidangkan puluhan makanan namun tekanan akan membuat anda tidak mempunyai selera untuk makan atau minum. Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai masalah berat badan yang tidak normal dan tubuh badan akan kelihatan kurus serta tidak bermaya.
4. Rasa kurang siuman
Kadangkala, mereka yang stres mungkin berasa dirinya dalam keadaan tidak waras hingga beranggapan dirinya tidak bernasib baik seperti orang lain yang sentiasa dalam keadaan gembira. Selain itu, mereka juga akan mendengar suara dan gangguan lain di kepala.
Keadaan seseorang yang tidak dapat mengawal tekanan dalam kehidupan seharian. — Agensi
5. Mahu menamatkan nyawa sendiri
Fasa paling teruk akibat tekanan yang boleh mewujudkan keinginan untuk menyakiti diri sendiri kerana terlalu letih untuk mencari penyelesaian yang betul.
Namun, sindrom itik berpunca daripada tanggapan masyarakat yang mahu melihat atau mendengar kisah kejayaan dan tidak mengambil berat tentang kegagalan serta kesusahan orang lain.
Perkara tersebut membolehkan masyarakat melihat bahawa ia adalah norma yang harus diikuti dan dicontohi semua orang walaupun pada hakikatnya hati seseorang tidak dapat bertahan.
Tambahan pula, sindrom itik boleh disebabkan oleh pengaruh media massa atau media sosial, trauma, keyakinan diri yang sangat rendah dan hidup dalam persekitaraan toksik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram