Bayi terdedah ekzema jika ibu makan ayam berlebihan ketika hamil


  • Sihat
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Si kecil juga akan terdedah kepada ekzema jika tidak dijaga dengan betul.

EKZEMA merupakan masalah kulit yang dialami oleh orang ramai dan boleh bermula daripada peringkat bayi. Namun, terdapat segelintir golongan yang harus berterusan hidup dengan penyakit tersebut, perkara itu amat membimbangkan kerana 20 peratus kanak-kanak Malaysia menghidapi ekzema.

SMCV_Dr Melanie Majaham

Dr Melani seorang Pakar Perunding Kanak-Kanak (SMCV).

Pakar Perunding Kanak-Kanak (SMCV), Dr Melanie Majaham, berkongsi bahawa ekzema selalunya berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kulit kering apabila terdedah kepada bahan kimia, peluh dan cuaca panas. Perkara itu akan mendorong mereka untuk menggaru bahagian gatal yang menyebabkan kerosakan kulit dan mudah terdedah kepada jangkitan bakteria, virus dan fungus.

Walaupun ia bukan sesuatu yang luar biasa, ramai orang tidak menyedari bahawa kanak-kanak yang menghidap ekzema juga boleh mengalami alahan makanan, resdung, dan asma. Lebih daripada 50 peratus kanak-kanak yang menghidap ekzema mengalami asma apabila dewasa, dan 33 peratus lagi mengalami alahan makanan dan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit resdung.

Pakar Perunding Telinga Hidung Tekak (ENT) dan Pakar Bedah Kepala dan Leher, Dr Juani Hayyan Abdul Karaf pula mengatakan pilihan rawatan untuk alahan juga berbeza-beza bergantung kepada tempat manifestasi untuk rawatan simptomatik. Terdapat bentuk suntikan imunoterapi yang tersedia untuk alahan, tetapi itu adalah untuk alergen tertentu, seperti hama habuk rumah.

Childhood rashes, skin conditions and infections concept

Ekzema pada muka kanak-kanak.

Biasanya, alahan berlaku apabila kanak-kanak terdedah kepada makanan atau persekitaran tertentu iaitu persekitaran berdebu, cuaca sejuk, panas atau bulu haiwan, selain itu, ibu bapa harus melihat gejala intolerasi laktosa seperti cirit-birit, muntah atau ruam kulit bagi bayi yang baru lahir.

Kajian menunjukkan bahawa genetik memainkan peranan penting dalam perkembangan atopik. Ekzema berlaku disebabkan oleh gabungan pencetus persekitaraan antaranya makanan, sabun, krim atau bahan kimia, genetik dan terdapat sejarah keluarga yang mempunyai ekzema.

Selain itu, wanita yang makan lebih banyak ayam semasa hamil boleh meningkatkan risiko ekzema pada bayi. Namun begitu, kajian juga menunjukkan bahawa jika wanita hamil mengambil lebih banyak tenusu, telur dan diet berasaskan tumbuhan, ia dapat melindungi bayi mereka daripada ekzema.

Walaupun masalah kulit atau alahan tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan secara kekal, namun, Dr Melanie menasihati ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah ekzema agar menggunakan pelembap kulit dan memastikan anak mereka sentiasa berada dalam keadaan selesa atau nyaman kerana haba boleh membuatkan ekzema bertambah teruk.

Selain itu, gunakan pelembap kulit sepanjang masa amat membantu dalam memastikan kanak-kanak kekal selesa dan elakkan daripada menggunakan sabun antiseptik yang kasar pada kulit, tetapi boleh digantikan dengan sabun dan bebas pewangi serta mempunyai emolien (pelembap). Sabun organik tidak selalunya menjadi penyelesaian kerana ia mungkin tidak cukup melembapkan kulit.

Dr Juani mengatakan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada anak yang menghidap ekzema seperti mengamalkan pemakanan sihat dan sentiasa kekal aktif, di samping itu, mereka juga perlu memastikan agar anak bersenam dengan kerap, luangkan masa di luar rumah dan dapatkan Vitamin D yang bermanfaat untuk kesihatan kanak-kanak serta mendapatkan tidur yang mencukupi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ekzema, alahan, bayi, ibu hamil, kulit kering