SABAH FC akan membuat perhitungan dengan Kuching City FC dalam pertembungan sulung derbi Borneo bagi aksi saingan Liga Super musim ini.
Skuad Sang Badak menjangkakan aksi sengit daripada anak-anak buah Irfan Bakti dalam pertemuan yang bakal berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Isnin.
The Rhinos memperoleh tujuh gol menerusi dua kemenangan berturut-turut dan tentunya skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mahu terus menambah jumlah jaringan pada perlawanan tersebut.
Walaupun dalam pertemuan terakhir memperlihatkan Kuching City dibelasah 0-5 dengan Selangor FC, namun perkara itu tidak boleh dipandang remeh oleh anak-anak buah Kim Swee.
Bagi penjaga gol Sang Badak, Khairul Fahmi Che Mat, perlawanan itu penting kerana ia aksi pertama Sabah FC bermain di tempat lawan.
“Ini adalah perlawanan pertama kami di tempat lawan. Kami kena bersedia. Kuching City tewas kepada Selangor tempoh hari, tetapi ia bukan penanda aras tentang bagaimana mereka menentang kami
“Keyakinan kami tinggi selepas mengharungi permulaan yang baik, tetapi ia tetap menjadi cabaran bermain di depan penyokong lawan.
"Oleh itu, kami perlu beraksi secara solid selama 90 minit untuk memenangi perlawanan," katanya.
Penjaga gol berpengalaman berusia 34 tahun itu berkata, kekecewaan tidak mengekalkan rekod bersih dalam perlawanan kedua menentang Kelantan United FC (3-1) mendorongnya untuk melakukan lebih baik dalam perlawanan akan datang.
“Membiarkan gawang bolos adalah satu pengajaran buat saya. Sebagai penjaga gol, saya perlu sentiasa bersedia dan terus belajar daripada kesilapan," katanya.
Sabah FC mengumpul enam mata selepas memperoleh tiga mata penuh dalam dua perlawanan setakat ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram