Prestasi pasukan dalam bahaya, 3 jurulatih berpotensi 'berehat' lebih awal


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Teong Kim pernah dipecat oleh FAM sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun selepas tersingkir daripada saingan kumpulan Piala AFC (B-16) pada 2018.

PRESTASI tidak menentu beberapa pasukan kini menjadi perhatian penyokong pasukan masing-masing apabila mereka dilihat bergelut untuk bersaing dalam Liga Super.

Beberapa pasukan dilihat mengeluarkan bajet yang besar untuk bersaing dan memenangi beberapa kejohanan dianjurkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Namun perlaburan secara besar-besaran dilihat tidak dapat menjamin kejayaan segera buat pasukan masing-masing.

Walaupun Liga Super baru sahaja memasuki perlawanan kedua namun prestasi beberapa kelab dilihat tidak konsisten sehingga menjadi bualan sesama penyokong yang mahukan tindakan segera diambil bagi memastikan pasukan kesayangan mereka tidak mendap di dasar liga.

Penyokong seperti Terengganu, Perak dan Kelantan antara yang tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan mereka yang bergelut untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2023.

Ini merupakan tiga ketua jurulatih dijangka direhatkan oleh pihak pengurusan mereka atas desakan penyokong sendiri:

Teong Kim memiliki pengalaman jurulatih selama 12 tahun bersama pasukan bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich.

1. Lim Teong Kim (Perak FC)

Baru sahaja dilantik menjadi Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berada dalam keadaan bahaya apabila penyokong sudah mula kurang yakin akan kebolehannya untuk membimbing skuad The Bos Gaurus.

Teong Kim atau lebih dikenali LTK pernah memegang jawatan Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) pada 2013 dan dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016.

Teong Kim turut memiliki pengalaman jurulatih selama 12 tahun bersama pasukan bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich dan membimbing pemain seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos serta Emre Can.

Pasukan Perak musim ini banyak membawa masuk pemain-pemain muda dan hanya mengutip satu mata dari dua perlawanan Liga Super.

Walaupun dipuji kerana berjaya mengubah Perak untuk mempamerkan corak permainan menarik, tetapi itu bukan jaminan yang dimahukan penyokong selepas The Bos Gaurus hanya memperoleh satu mata daripada dua perlawanan awal.

Keputusan Teong Kim untuk bergantung harap kepada tenaga muda dan pemain tempatan juga mula menimbulkan keraguan tentang kemampuan Perak FC untuk memberi cabaran sengit dalam Liga Super pada musim ini.

Penyokong Kelantan mula menunding jari pada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan atas prestasi buruk pasukan. Facebook/Kelantan FC

2. Choi Moon Sik (Kelantan FC)

Selepas berteka-teki tentang identiti jurulatih baharu The Reds Warrior, akhirnya Kelantan FC mendedahkan Choi Moon-sik sah dilantik sebagai jurulatih baru mereka untuk harungi Liga Super musim ini.

Hadir dengan reputasi sebagai jurulatih Korea yang membawa harapan penyokong untuk melihat dia mengubah pasukan Kelantan seperti yang dibuat Kim Pan-gon ke atas Harimau Malaya.

Namun DNA Korea masih belum meresapi skuad Kelantan FC apabila pasukan kendalian Moon-sik tewas dua kali di halaman sendiri ketika menentang Kuching City FC dan Sri Pahang.

Penyokong Kelantan mula menunding jari pada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan kerana pemilihan pemain import dan taktikal yang diterapkan jurulatih dari Korea ini.

Tomislav gagal membantu Terengganu FC mengutip sebarang mata dalam Liga Super. Facebook/TFC

3. Tomislav Steinbrückner (Terengganu FC)

Walaupun mempunyai pengalaman bersama T-Team dalam Liga Malaysia, nampaknya Tomislav masih belum mampu meneruskan rentak kecemerlangan yang ditinggalkan Nafuzi Zain musim lalu.

Hadir dengan reputasi hebat sebagai seorang jurulatih serta beberapa pemain import baharu, jelas Tomislav dilihat masih bergelut untuk mengadaptasi corak permainannya ke dalam pasukan Terengganu.

Terengganu kini gagal mengutip sebarang mata liga dan terlepas Piala Sumbangsih apabila tewas kepada JDT dengan keputsan 0-2 di gelanggang tuan rumah.

Malah dia serta kesemua barisan kejurulatihan mengalami nasib malang apabila tewas 0-1 kepada pasukan kendalian Nafuzi Zain, Kedah Darul Aman FC berjaya menyempurnakan peluang gol terhidang pada minit akhir perlawanan dalam Liga Super pada Rabu.

Malah ada penyokong mempersoalkan keputusan TFC meletakkan penyerang berbisa, Jordan Mintah ke skuad TFC II sedangkan skuad utama Sang Penyu memerlukan penggempur semula jadi.

Lihat saja carta Liga Super, TFC antara dua pasukan selain PDRM yang masih gagal mencetak sebarang gol setakat ini.

Kini Terengganu menduduki tangga ke-13 Liga Super tanpa sebarang kutipan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram