Fans Sang Kenari bongkar 4 sebab kenapa Lee Tuck punca 'Nafuzi Ball' tak berapa nak jadi


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Lee Tuck baru sahaja bergelar pemain naturalisasi kebangsaan pada tahun lalu. — Facebook/KDA FC

'NAFUZI BALL' adalah istilah bola sepak yang mungkin dicipta oleh penyokong, penganalisis bola sepak atau media tempatan semenjak Nafuzi Zain mengambil alih pasukan Terengganu sebelum ini.

Ia lumrah dalam bola sepak apabila istilah begini tercipta kerana identiti permainan sesebuah pasukan itu mula menonjol serta memikat, jadi berbeza daripada pasukan lain.

Nafuzi hadir dengan salah satu cabang aspek bola sepak moden iaitu bermain dan membina serangan dari belakang, bermakna tiada lagi tendangan lambung daripada penjaga gol mencari penyerang atau targetmen.

Permainan begini sangat mencabar bagi pasukan yang baru cuba mengaplikasikannya kerana apabila pasukan lawan menyedari penjaga gol tidak melakukan tendangan lambung, mereka selesa melakukan high pressing.

Terengganu bergelut ketika itu untuk bermain begini dan Nafuzi sendiri sering berteriak sambil memberikan arahan dari tepi padang apabila pemain gagal merealisasikan taktikal yang direncanakannya.

Nafuzi TFC

Nafuzi berjaya menjadikan Terengganu pasukan yang mampu bersaing bersama JDT dengan taktikal Nafuzi Ball. — Facebook/TFC

Nampaknya perkara ini turut berlaku kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila Nafuzi Ball masih lagi gagal diterapkan oleh pemain-pemain Sang Kenari.

Kegagalan ini dibuktikan apabila Kedah kini tewas sebanyak dua kali dalam perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Malah penyokong turut mendakwa salah satu punca kegagalan Nafuzi Ball ialah disebabkan kehadiran pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Andrew Tuck dalam kesebelasan utama skuad Kedah.

Ini merupakan empat sebab kenapa Lee Tuck mungkin punca kegagalan Nafuzi Ball seperti mana dibangkitkan fans Sang Kenari di media sosial:

Lee Tuck

Lee Tuck baru menyertai KDA FC musim ini. — Facebook/KDA FC

1. Gemar bermain secara individu

Sejak kebelakangan ini Lee Tuck dilihat gemar bermain secara individu sehingga terlepas untuk melepaskan peluang mencipta gol.

Namun dalam permainan individunya masih nampak Lee Tuck cuba sehabis baik untuk membantu rakan sepasukannya.

Mungkin permainan dilihat bermain secara individu kerana masih belum serasi dengan kapten KDA FC, Manuel Ott yang menjaringkan dua gol ketika bertemu Penang FC pada Rabu.

Lee Tuck 2

Lee Tuck dilihat masih bergelut dengan taktikal yang diterapkan Nafuzi. — Facebook/KDA FC

2. Masih memahami 'Nafuizi Ball'

Bersama Kedah, Lee Tuck berperanan sebagai inside forward dan bukannya boleh bergerak bebas seperti peranan yang dibawa Sandro da Silva ketika bersama Sang Kenari.

Peranan Lee Tuck sama seperti Baddrol Bakhtiar di era Tan Cheng Hoe tetapi lebih advanced kerana Lee dia berada di kedua-dua posisi tengah berbanding Baddrol yang lebih fokus di tengah kanan padang.

Masih awal untuk penyokong menilai prestasi Lee Tuck kerana dia baru saja menyertai skuad bimbingan Nafuzi selepas pulang dari tugas kem kebangsaan.

Lee Tuck 7

Ketangkasan Lee Tuck tidak seperti semasa zaman mudanya bersama TFC. — Facebook/TFC

3. Umur

Lee Tuck yang kita kenali dulu bukanlah yang sekarang, walaupun begitu dia masih boleh menyumbang sesuatu buat pasukan Sang Kenari serta skuad kebangsaan.

Pemain berusia 35 tahun itu dilihat tidak seperti dulu yang mana aksinya setiap kali menarik perhatian penyokong bola sepak.

Berkemungkinan faktor umur memainkan peranan utama Lee Tuck sedikit perlahan untuk memahami corak permainan Nafuzi Ball.

Lira & Ott

Manuel Ott (kiri) dan Willian Lira (kanan). — Facebook/KDA FC

4. Masih awal

Mungkin masih awal untuk penyokong Kedah menilai taktikal yang sedang diterapkan oleh Nafuzi Zain kerana baru sahaja empat perlawanan termasuk kekalahan pada Penang FC.

Nafuzi turut mengambil masa yang lama sebelum menjadikan Terengganu antara salah satu pencabar Johor Darul Takzim (JDT) buat dua musim berturut-turut.

‘Nafuziball’ adalah Positional Play yang belum sempurna kerana ia jelas masih boleh diperbaiki dan dipertajamkan lagi.

Namun begitu, model permainan pasukan KDA FC kini semakin jelas dilihat meskipun tewas kepada Penang dalam aksi Piala FA pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram