AKSI 'Northern Derby' pusingan pertama Piala FA 2023 menjadi milik Penang FC apabila berjaya menunjukkan jalan keluar buat Kedah Darul Aman (KDA FC) selepas menang 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam tempoh 120 minit di Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu.
Ketangkasan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi menghalang sepakan Lee Tuck dan Bojan Ciger meranapkan impian KDA FC untuk melangkah ke pusingan kedua Piala FA.
Kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut dicatatkan Sang Kenari selepas tewas kepada PDRM FC 0-1 di saingan Liga Super pada Sabtu lalu juga di halaman sendiri.
Walaupun skuad Harimau Kumbang berjaya menewaskan Sang Kenari, rata-rata penyokong masih tidak berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain Penang FC.
Penyokong Penang meluahkan hasrat mereka kepada Jurulatih Kecergasan meminta buat sesuatu untuk meningkatkan prestasi dan larian pemain.
Adriano Narcizo. — Facebook/Penang FC
Menurut seorang penyokong, AK di Facebook mengatakan sudah hampir dua musim dia perhatikan larian pemain import dan tempatan Penang masih belum menepati standard pemain bola sepak.
"Dah dua musim perhati kelajuan larian pemain import dan tempatan agak merisaukan, harap Jurulatih Kecergasan Penang dapat selesaikan masalah ini," katanya.
Shah Akmal pula berkata, pemain import mereka turut mempunyai masalah kecergasan dan sering melakukan kesilapan.
"Adriano memang dia lari dengan guna fizikal itu nampak dia susah nak jatuh, tapi lama-lama dia sendiri yang buat kesilapan," ujarnya.
Manakala Wan Tokua berkata, dia risau melihat prestasi larian-larian pemain-pemain Penang FC sejak dari pra musim lagi.
"Tengok masa final Piala Harapan hari itu pun tahu semua masih berat nak berlari," jelasnya.
KDA FC nampaknya terpaksa berputih mata apabila ditendang keluar seawal pusingan pertama oleh Penang.
Selepas ini skuad Harimau Kumbang akan bertemu pasukan Kuching City pada pusingan kedua Piala FA pada April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram