SELEPAS mengharungi detik getir dalam tiga perlawanan terdahulu di saingan Liga Super, Perak FC sekali lagi terpaksa berputih mata apabila tewas kepada pasukan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan Piala FA pada Rabu.
Pada perlawanan itu, penyokong Perak kecewa apabila pasukan Sri Pahang dihadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan yang memperlihatkan The Bos Gaurus terkeluar seawal saingan pusingan pertama di Stadium Perak, Ipoh, Perak.
Salah seorang pemain Perak FC, Fadhil Idris dilayangkan kad merah selepas mengasari Kpah Sherman dalam kawasan penalti dan keputusan ini cuba dibantah oleh pemain Perak namun pengadil tetap dengan pendiriannya.
Kehilangan seorang pemain nyata merencatkan taktikal pasukan Perak sehingga Sri Pahang berjaya bangkit menerusi jaringan Malik Mat Ariff dan sepakan penalti Stefano Brundo.
Walaupun perlawanan itu sudah tamat, segelintir penyokong Perak masih belum boleh terima hakikat dan wujud pelbagai dakwaan tentang perlawanan itu.
Salah seorang penyokong mula bertanya kepada orang ramai di media sosial adakah penalti yang diambil oleh Pahang itu sah?
Bola yang didakwa berada dalam padang oleh penyokong Perak. — Facebook
Ia disebabkan terdapat dua bola di dalam padang ketika pemain Pahang mengambil sepakan penalti.
"Nak tanya, boleh ke ada dua biji bola dalam padang waktu game? Mohon pencerahan," soalnya.
Persoalan yang diajukan penyokong Perak itu turut mendapat pelbagai reaksi beberapa individu di ruangan komen.
"Sudah-sudahlah itu, kita kalah sebab score sebiji sahaja, Pahang dua biji, dah dua game kita leading tapi kalah," ujar Mohamad Suhairi.
"Bola itu diluar garisan padang, jadi tiada isu, kecuali bola itu dalam padang," jelas Rahim Abdullah.
"Bola itu di luar padang tak ganggu pun,tapi di pertikai," kata Cherok Tokun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram