'Tak nak tiru barat, tak nak tiru Ultras Malaya', Ultras Kelantan United ada keunikan tersendiri


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Ultras KUFC berkata, tidak mahu mengikuti cara Ultras Malaya dan budaya barat dengan menyokong pasukan di belakang tiang gol. — Facebook/KUFC

TERNYATA perubahan format Liga Super musim ini berjaya menarik minat penyokong bola sepak untuk turun ke stadium bagi memberikan sokongan buat pasukan mereka.

Bukan sahaja penyokong, malah setiap pasukan turut mempunyai penyokong ke-12 iaitu ultras yang setia menghabiskan tenaga untuk memberikan sokongan sehingga wisel penamat.

Walaupun kelab bola sepak itu berasal dari negeri yang sama, mereka masih mempunyai ultras masing-masing dan tidak memilih menjadi 'lalang' menyokong pasukan lain.

Bercakap mengenai ultras dari negeri yang sama, Ultras Kelantan United FC (KUFC) atau lebih dikenali Ultras GU12 Bearong memuat naik satu hantaran di Facebook mengajak penyokong Kelantan untuk bersama-sama mereka pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Isnin.

"Untuk perlawanan KUFC bertemu Kedah, diminta dan diharapkan ahli-ahli Ultras KUFC boleh memenuhi kawasan di belakang Gendang Bearong untuk kita sama-sama chanting dan bersorak.

"Ayuh kita pakat berkerjasama dan sporting dalam membentuk suara chanting yang hebat dan meriah," katanya dalam Facebook.

Kelantan United kini menghuni tangga ke-13 dalam Liga Super. Facebook/KUFC

Apa yang menarik lagi apabila dalam hantaran tersebut, Ultras KUFC berkata, tidak mahu mengikuti cara Ultras Malaya dan budaya barat dengan menyokong pasukan di belakang tiang gol.

"Ultras GU12 Bearong tak ikut orang barat, kami akan sentiasa duduk bertempat di scoreboard dan tak akan sesekali duduk di belakang gol.

"Ultras kita untuk cipta identiti Kelantan dengan mengekalkan keunikan budaya Kelantan, dikir barat dan juga muzik moden.

"Identiti Kelantan keutamaan kami, dan kami tak ikut Ultras Malaya," ujarnya.

Kelantan United yang belum melakar sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan kini menghuni tangga ke-13 dalam Liga Super apabila seri satu perlawanan selain tewas dalam dua perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram