
TONGGAK pertahanan baharu Sri Pahang FC, Stefano Brundo digelar sebagai idola baharu skuad Tok Gajah selepas beberapa kali menjadi hero pasukan dari tewas di tangan pasukan lawan pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pemain import dari Argentina itu sudah merekodkan dua gol dalam perlawanan Liga Super dan satu sepakan penalti sewaktu pusingan pertama Piala FA 2022 menentang pasukan Perak FC pada Rabu lalu.
Gol penalti yang disempurnakan Brundo pada masa tambahan dihujung permainan nyata memberi kelebihan kepada Sri Pahang untuk mereka layak ke pusingan kedua Piala FA pada musim ini.
Meskipun beraksi sebagai pemain pertahanan, tonggak berusia 29 tahun itu mendapat pujian tidak henti-henti daripada penyokong kerana berhasil mencetak jaringan seperti pemain yang beraksi di jentera serangan.
Menarik mengenai pemain berketinggian 1.91 meter itu, Brundo juga sepertinya sudah jatuh cinta dengan keindahan Bahasa Melayu apabila dia menyatakan hasrat untuk belajar bahasa ibunda.
Keinginan bekas kelab Primera B Nacional, Estudiantes BA itu untuk belajar Bahasa Melayu disambut baik dan ada penyokong yang mencadangkan agar Brundo menuntut ilmu dengan pemain naturalisasi, Sergio Ezequiel Aguero.
Aguero menjadi pemain naturalisasi negara pada 2022. — Facebook/SriPahang
Bagaimanapun, Brundo seperti meragui kemampuan Bahasa Melayu pemain berusia 28 tahun itu dan membahan kefasihan ketua pasukan Sri Pahang itu di ruangan komen laman Twitter miliknya.
"Saya tidak pasti jika dia (Aguero) fasih Bahasa Melayu," tulis Brundo.
Brundo kini menjadi antara taruhan penyokong Sri Pahang untuk mematahkan serangan daripada pihak lawan terutamanya menjelang perlawanan menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super pada Ahad ini.
Setakat tiga perlawanan Liga Super yang dihadapi, Sri Pahang berjaya mencatat satu kemenangan ketika berdepan Kelantan dan mengalami dua seri ketika menghadapi Negeri Sembilan FC dan Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram