Hannah 'di mana-mana', akui tak cukup rehat


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Hannah (dua kiri) hadir pada sesi latihan terakhir skuad bola sepak wanita B-20 negara di Padang Wisma FAM pada 7 Mac lalu. — Bernama

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjadi antara menteri yang kerap turun padang, tidak kira untuk merasmikan acara, lawatan ke fasiliti sukan atau atlet.

Malah, ada yang berjenaka bahawa ‘Hannah Yeoh di mana-mana’ kerana beliau dilihat berada di pelbagai lokasi melibatkan sukan dan belia sejak dilantik sebagai menteri pada awal Disember lepas.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau rajin turun padang kerana dapat memahami keadaan sebenar dengan lebih baik, selain turut berusaha meluangkan masa untuk melawat sukan kurang popular.

"Infrastruktur sukan ini banyak tempat, saya tak dapat pergi semua tempat, jadi saya akan tengok berdasarkan masa yang ada.

"Sukan seperti bola sepak cukup popular, tetapi pasukan wanita kurang dapat perhatian, jadi saya bersama mereka untuk memahami juga,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Namun, di sebalik keseronokan dan tanggungjawab, beliau mengakui ia memenatkan apabila kurang masa berehat dalam kesibukan kerja.

"Sebenarnya agak memenatkan, saya tak cukup tidur tetapi kerana bila ada usaha daripada persatuan sukan, daripada semua pihak yang memainkan peranan mereka, saya cuba sedaya mungkin untuk bantu. Saya kali terakhir berehat ketika cuti Tahun Baharu Cina pada Januari, dah lama.

"Cumanya saya tak klon diri saya untuk pergi banyak tempat, ada kekangan dan tugasan di Parlimen. Jadi saya minta maaf dengan banyak penganjur yang jemput saya kerana masa terhad, tidak dapat hadir ke semua majlis,” jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram