Isu gaji lewat NSFC panas di media sosial, ini kata MFL


  • Podium
  • Rabu, 08 Mac 2023

NSFC dibelasah pasukan JDT 0-7 dalam saingan Liga Super 2023 baru-baru ini. — Facebook

DESAS-DESUS kelewatan pembayaran gaji pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) seperti yang dikongsikan penyokong skuad Jang nampaknya hanya sekadar modal bersembang fans yang berlegar di media sosial.

Perkongsian yang dibuat penyokong menggunakan akaun @TheJangsN9 itu mendedahkan pemain NSFC masih belum menerima gaji bulan Februari walaupun sudah memasuki Mac.

"Gaji bulan Februari 2023 belum diterima, bonus perlawanan setakat ini juga tiada, kalau ikut law Selasa (7 Mac 2023) last day untuk bayar gaji," katanya di Twitter.

Begitupun dakwaan tersebut hanya sekadar cerita di media sosial apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiada sebarang laporan rasmi diterima pihaknya berhubung masalah tunggakan gaji melibatkan pasukan NSFC.

Meskipun angin bertiup kencang sebelum ini dengan mengaitkan pasukan tersebut dan isu kelewatan gaji, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa perkara tersebut hanya berlegar di media sosial.

KUALA LUMPUR, 22 Feb -- Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Stuart Ramalingam ketika ditemu bual pada Majlis Pengumuman AEON BiG sebagai Penaja Rasmi Liga Malaysia 2023 di AEON BiG Wangsa Maju hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

MFL mengesahkan tiada laporan rasmi diterima berhubung masalah kelewatan gaji pasukan NSFC. — Bernama

Namun sehingga kini tiada sebarang laporan rasmi diterima oleh badan induk itu berhubung kelewatan pembayaran gaji bulan Februari para pemain NSFC.

"Kami tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu (kelewatan bayaran gaji)," katanya kepada Majoriti pada Rabu.

Pihak pengurusan NSFC pula tidak mengiyakan atau menidakkan dakwaan tersebut, seolah-olah mahu menoktahkan isu berkenaan daripada terus diperdebatkan.

Jika dakwaan berkenaan dianggap benar sekalipun, ada kemungkinan ia tidak diperbesar-besarkan kerana kelewatan pembayaran membabitkan tempoh sebulan.

Sedangkan badan pentadbiran bola sepak antarabangsa, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperuntukkan dalam peraturan bahawa kegagalan pembayaran gaji selama dua bulan berturut-turut membolehkan pemain mengambil tindakan menamatkan kontrak bersama kelab.

Dengan mengambil kira perkara itu, elok untuk dilihat bahawa perkara tersebut bukanlah melibatkan pemain tidak dibayar gaji langsung sebaliknya mungkin berlaku sedikit kelewatan atas faktor-faktor tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Apapun semoga urusan kedua-dua pihak baik para pemain dan pengurusan kelab NSFC dapat dipermudahkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram