Lupakan momen indah menentang Kedah, Azzmi mahu fokus berdepan Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Azzmi mahu anak-anak buahnya fokus untuk aksi menentang skuad Sang Penyu. — Facebook/PDRM FC

KETUA jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz mahu pasukannya melupakan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super Sabtu lalu.

Ini kerana dia mahu anak buahnya fokus mempersiapkan diri menjelang kunjungan mereka ke laman Terengganu FC yang merupakan aksi keempat mereka musim ini.

Pengendali berusia 47 tahun itu juga mengakui berasa lega apabila mendapatkan kembali khidmat tonggak tengah kelahiran Myanmar, Kyaw Min Oo yang sebelum ini terpaksa direhatkan kerana kecederaan betis.

Biarpun sedang menduduki tangga keenam Liga Super selepas tiga perlawanan, Azzmi tetap menganggap pasukannya sebagai bukan pilihan menentang lawan di tangga tercorot liga itu.

334288396_3026609417633319_8504840220063468627_n

Jaringan Bruno Suzuki (depan) memberi kemenangan pertama buat PDRM FC.Facebook/PDRM FC

"Sudah pasti kami tidak boleh berpuas hati. Ia baru perlawanan ketiga dan perjalanan kami masih jauh.

"Saya sendiri masih berharap pasukan ini akan meningkat dengan lebih baik kerana kita tahu lawan kami dalam Liga Super ini bukan calang-calang pasukan dengan perbelanjaan yang dikeluarkan mereka," katanya kepada Astro Arena.

Tambah Azzmi, kemerosotan ketara yang ditunjukkan skuad Sang Penyu juga diberi perhatian, namun dia tidak mahu terlalu selesa dengan prestasi pihak lawan.

"Kita tahu Terengganu mempunyai sejarah tersendiri dan dengan barisan pemain yang mereka ada ketika ini, kami tidak boleh mengambil mudah.

"Cuma apa yang kami nampak, mereka agak bergelut sepanjang tiga perlawanan ini dan kami tetap perlu berhati-hati, sama seperti perlawanan kami menentang Kedah tempoh hari," katanya.

Setakat ini, Terengganu FC menjadi satu-satunya pasukan yang masih gagal mendapatkan jaringan pertama di samping hanya perlu berpuas hati dengan satu mata ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram